Rabu, 24 April 2019

TUN M NAK LETAK JAWATAN, APAKAH ACAH2 INI BERTUJUAN MENAIKKAN MUKHRIZ MENGGANTIKAN MUHYIDDIN?

Hasil carian imej untuk FOTO MUKHRIZ

Hanya kerana tidak puas hati dengan perlantikan dua Exco Johor yang baru, Tun Mahathir Mohamad bukan saja memanggil mesyuarat khas Bersatu secara tergempar, tetapi beliau kemudiannya seperti merajuk dan menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kononnya beliau kecewa kerana keputusan yang sudah dipersetujui dalam Bersatu untuk tidak membuat perubahan dalam barisan Exco, tetapi diingkari oleh Muhyiddin Yassin selaku presiden parti bersama Menteri Besar Johor, Dr. Shahruddin Jamal.

Ehh…ehh…betul ke Tun Mahathir sampai nak letak jawatan kerana perkara itu?

Atau beliau sebenarnya hanya acah-acah saja?

Tun Mahathir, berdasarkan sejarah perjuangannya, beliau bukanlah pemimpin yang mudah kecewa, merajuk dan patah hati.

Jiwanya adalah jiwa kental dan suka melawan. Amerika dan kuasa besar Barat pun tidak pernah membuatnya takut atau gentar untuk berlawan, apatah lagi dengan perkara-perkara lain.

Di dalam negara, jika beliau tidak setuju, semua orang akan dilawannya, tidak kira sama ada mereka itu Perdana Menteri, Sultan atau Raja sekali pun.

Lagi pun, isu perlantikan dua Exco Johor adalah terlalu kecil untuk Tun Mahathir jadi kecewa, patah hati, merajuk dan ingin meletakkan jawatan, kecuali jika sekarang beliau sudah terlalu sensitif kerana faktor usia tua benar-benar sudah melanda jiwanya.

Untuk itu, ramai yang sangsi dan was-was bahawa Tun Mahathir benar-benar serius mahu meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun, berikutan ancaman Tun Mahathir mahu meletakkan jawatan itu yang dilihat mengancam masa depan dan sumber rezeki sesetengah pihak, para Ahli MPT Bersatu kemudian bersolidariti menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri.

Sokongan tersebut selepas itu bukan saja membuktikan Tun Mahathir terus mendapat sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan menjadi Pengerusi Bersatu, malah membuatkan munculnya desakan agar Muhyiddin diundurkan daripada jawatannya.

Muhyiddin dilihat bukan lagi gandingan yang terbaik untuk Tun Mahathir, susulan isu perlantikan Exco Johor, baru-baru ini.

Di peringkat awal ini, sudah muncul permintaan agar Tun Mahathir sendiri menjadi Presiden Bersatu mengambil alih tempat Muhyiddin sebagai usaha agar kediktatorannya dalam mengurus parti seperti mengetuai UMNO dahulu dapat diulangi, sekaligus memberi jaminan tiada ada mana-mana perkara yang sudah diputuskan atau dipersetujui, tiba-tiba diengkari oleh pihak lain.

Walaupun terlihat ada yang bersetuju, dari segi logiknya, menjadikan Tun Mahathir sebagai Presiden Bersatu daripada Pengerusi yang dipegangnya sekarang adalah sesuatu yang sukar diterima dan tidak masuk akal.

Ia seperti menukar seorang pengerusi GLC menjadi pengarah urusan saya saja layaknya.

Walaupun pengerusi GLC tiada kuasa eksekutif, pengaruh mereka biasanya lebih besar dan dihormati dan dengan itu tiada yang mahu menjadi pengarah urusan setelah memegang jawatan pengerusi.

Jika pengerusi GLC berlaga angin dengan pengarah urusan, langkah yang biasa diambil ialah menukarnya dengan individu lain yang disenanginya.

Dalam soal Bersatu, Tun Mahathir pada waktu ini jelas sudah ada perasaan tidak senang hati kepada Muhyiddin sebagaimana sebelum ini.

Apakah tindakan Tun Mahathir tiba-tiba merajuk dan mengancam mahu letak jawatan kerana tidak senang dengan Muhyiddin ini sebagai permulaan kepada usahanya untuk menukar Presiden Bersatu itu?

Jika Tun Mahathir mahu menukar Muhyiddi, pengganti paling munasabah tentulah anaknya sendiri, Mukhriz yang ketika ini memegang jawatan Timbalan Presiden Bersatu.

Apakah mustahil untuk menjadikan Mukhriz sebagai Presiden Bersatu dan Tun Mahathir dalam masa yang sama terus kekal sebagai Pengerusinya?

Daripada satu sudut, semua ini tidak mustahil kerana Bersatu adalah umpama Tun Mahathir yang punya dan parti itu akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya pada hujung tahun ini.

Kalau Tun Mahathir berjaya menjadikan anaknya sebagai Presiden Bersatu, apakah selepas itu Mukhriz akan dijadikan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri untuk digandingkan dengan Anwar pula?

Gandingan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika ini ialah MA iaitu Mahathir dan Azizah, apakah tidak mungkin gandingan yang cuba dirancang selepasnya ialah AM – Anwar dan Mukhriz?

Apakah yang lebih menyenangkan hati Tun Mahathir untuk berundur, bersara sepenuh masa dan memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih tempatnya, selain daripada dapat melihat anaknya sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri, seterusnya terbuka laluan untuk ke kerusi Perdana Menteri kemudiannya?

Tiada ulasan: