Khamis, 25 April 2019

“Saya berpuasa, saya orang Islam”, kata Shahidan selepas dilepas kes cabul remaja bawah umur

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan melakukan sentuhan seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kangar, di sini pada Rabu.

Peguam Zamri Ibrahim yang mewakili Shahidan ketika ditanya mengenai kes itu berkata Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak berhajat untuk meneruskan kes itu berikutan mangsa tidak mahu disoal dalam perbicaraan yang diadakan secara tertutup.

“Hari ini (semalam) sepatutnya mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kelima memberi keterangan. Mangsa sebelum itu telah mengesahkan laporan polis yang dibuat mengenai kes itu tetapi kemudiannya beritahu mahkamah beliau tidak mahu disoal dan tidak mahu teruskan kes,” katanya.

Beliau berkata pihak pendakwaan kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak berhajat untuk memanggil saksi seterusnya dan memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Dilepaskan tanpa dibebaskan bermaksud tertuduh tidak dilepaskan sepenuhnya dan boleh dikenakan semula pertuduhan.

Shahidan, 68, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di dalam kereta Toyota Harrier di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada 20 Okt 2018 kira-kira 11.30 malam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Shahidan ketika diminta mengulas mengenai keputusan mahkamah itu hanya berkata: “saya berpuasa, saya orang Islam.”

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Mohd Nordin Ismail.

Perbicaraan kes itu yang bermula semalam telah memanggil dua saksi pendakwaan. Hari ini mahkamah telah mendengar keterangan dua saksi yang memberikan keterangan di mahkamah terbuka.

Selepas itu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kelima dipanggil memberikan keterangan secara tertutup dan mahkamah meminta orang awam yang berada di dalam mahkamah keluar.

Terdahulu Inspektor Norzuki Husin yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) IPD Kangar dalam keterangannya berkata beliau tidak mengetahui kes itu secara jelas sehingga diberitahu rakannya, Saiful Anuar Abdul Hamid iaitu anggota kumpulan Buskers DSSK semasa mereka minum di sebuah kedai di Kuala Perlis pada malam 20 Okt 2018.

Katanya beliau juga tidak mempengaruhi keluarga remaja perempuan itu untuk membuat laporan polis dan hanya membaca laporan yang dibuat oleh pengadu (remaja perempuan) semasa di Balai Polis keesokannya (21 Okt 2018).

Seorang lagi saksi pegawai penyiasat kes, Inspektor Abdul Fatah Abdul Manaf dalam keterangannya berkata beliau adalah pegawai yang merakam percakapan pengadu selepas membuat laporan pada pukul 3 pagi 21 Okt 2018 dan turut merakam percakapannya sekali lagi semasa datang untuk menarik balik aduan pada 11 pagi.

“Saya hanya mengendalikan kes itu selama seminggu apabila diarahkan menyerahkannya kepada ASP Salwani dari ibu pejabat Kontinjen Perlis,” kata Abdul Fatah.–Bernama 

Tiada ulasan: