Selasa, 16 April 2019

PH (PKR) kalah, 'Tak tahu apa lagi nak cakap' kata Dr Xavier



KUALA LANGAT - "Saya serahkan kepada rakyat," itu reaksi Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mengenai kekalahan PH pada PRK Rantau yang diumumkan .

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu, pelbagai isu yang berlaku mutakhir ini namun ia seakan-akan tidak memberi kesan kepada rakyat.

"Isu berkaitan Felda, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, kes berkaitan Najib Razak, kes Rosmah, semua ini dilihat tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat.

"Jadi saya tidak tahu, benar-benar tidak tahu apa lagi nak cakap kepada rakyat, sedangkan kita mahu jadikan negara ini lebih baik. Ini merupakan perkara penting kepada negara, tapi mereka tak dapat buat keputusan yang tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib, di sini.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, kini terserah kepada rakyat untuk membuat pilihan.

"Nak kerja keras lagi macam mana, kita telah dedahkan apa yang dikatakan salah laku.

"Saya serahkan kepada rakyat sepenuhnya, mereka yang patut buat pilihan," katanya.

Dalam masa sama, Xavier turut mengucapkan tahniah atas kemenangan BN dalam PRK tersebut.

"Mereka telah buat yang terbaik, tahniah kepada mereka," katanya.

Terdahulu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal ke empat selepas menewaskan tiga pencabarnya.

Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi.

Selain Mohamad, PRK itu ditandingi calon PH Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Tiada ulasan: