Jumaat, 26 April 2019

PH akan kalah dalam PRU semula

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

 
BERDASARKAN kaji selidik terbaru Merdeka Center yang dibuat pada 5-11 Mac 2019 dan yang disiarkan hari ini, 26 April 2019, PH akan kalah kalau dibuat PRU semula dalam waktu terdekat.
 
Ini kerana tahap kepuasan hati rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan pada 11 Mac 2019 jatuh merudum kepada 39 peratus sahaja berbanding:
 
(1)  79 peratus pada 31 Mei 2018.
(2)  72 peratus pada 19 Julai 2018.
(3)  66 peratus pada 16 Ogos 2018.
(4)  57 peratus pada 30 September 2018.
(5)  58 peratus pada 30 Oktober 2018.
(6)  54 peratus pada 27 Disember 2018.
(7)  52 peratus pada 29 Januari 2019.
 
Tiada guna untuk kita selaku seorang Menteri meletakkan markah 60 peratus, 65 peratus atau 70 peratus ke atas prestasi diri kita sendiri jika rakyat hanya memberikan markah 39 peratus sahaja kepada Kerajaan Persekutuan yang kita anggotai.
 
Berdasarkan kaji selidik ini juga, tahap kepuasan hati rakyat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Mac 2019 didapati turut jatuh kepada 46 peratus sahaja berbanding:
 
(1)  83 peratus pada 31 Mei 2018.
(2)  79 peratus pada 19 Julai 2018.
(3)  71 peratus pada 16 Ogos 2018.
(4)  67 peratus pada 30 September 2018.
(5)  64 peratus pada 30 Oktober 2018.
(6)  59 peratus pada 27 Disember 2018.
(7)  58 peratus pada 29 Januari 2019.
 
Tun Dr Mahathir dan PH perlu melakukan sesuatu perkara yang drastik bagi melonjakkan balik tahap kepuasan hati rakyat terhadap beliau selaku Perdana Menteri dan terhadap PH selaku Kerajaan Persekutuan.
 
Sudah pastilah dapatan kaji selidik ini akan digunakan oleh parti-parti pembangkang untuk menekan Tun Dr Mahathir dan PH supaya membubarkan Parlimen atau untuk sekurang-kurangnya akur kepada kehendak mereka.
 
Pada masa yang sama, dapatan kaji selidik ini mungkin akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam PH untuk menekan Tun Dr Mahathir supaya mempercepatkan peralihan kuasa kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.
 
Begitupun, walaupun Tun Dr Mahathir sudah tidak lagi sepopular sebelum ini, beliau lebih popular berbanding Kerajaan Persekutuan yang beliau ketuai menjadikan Kerajaan Persekutuan yang lebih bergantung kepada beliau.
 
Semakin menarik perkembangan politik Malaysia sekarang. - HARAKAHDAILY
 
 

Tiada ulasan: