Sabtu, 27 April 2019

Perkasa gesa KDN, KPN jelas pembubaran STAGG, STAFOC, STING

Manzaidi Mohd Amin
Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pembubaran tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, dikatakan berpunca dari tekanan pihak tertentu dan berkepentingan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mendakwa, keberkesan fungsi tiga pasukan khas itu membanteras jenayah keganasan seperti gangsterism, pengedaran dadah, perjudian dan maksiat yang berleluasa menyebabkan ia memberi ancaman kepada dalang aktiviti beroperasi.

Maka, kata beliau, pihak tertentu merasakan elok Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) DAN Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dibubarkan.

Katanya, sebelum ini Ordinan Darurat (EO) yang merupakan undang-undang yang mampu mendepani aktiviti maksiat dan jenayah telah dimansuhkan, menyebabkan ia semakin berleluasa.

“Kita tahu aktiviti ini menjana dana berbilion ringgit melalui aktiviti haram ‘underworld’ ini, dan ia merupakan lombong emas dari segi perniagaan kepada dalang terbabit.

“Ini yang menyebabkan Malaysia menjadi negara sasaran kemasukan secara haram pelacur dari seluruh dunia dengan jumlah tidak terhitung ramainya.

“Ianya diurus oleh sindiket yang terancang dan tidak dapat dinafikan rasuah juga berleluasa akibat kegiatan haram jadah ini,” katanya mengulas pembubaran STAGG, STAFOC dan STING.

Dr. Ibrahim turut mengingatkan kerajaan bahawa pembubaran Pusat Tahanan di Simpang Renggam (sebelum ini di Pulau Jerejak) telah menyaksikan pembebasan King Pins yang dilihat bebas mengembangkan perniagaan dengan lebih berluasa.

Tanpa disedari kata beliau, dana besar haram itu telah masuk pasaran bersaing dengan dana sah dan halal serta ‘money spinning’ bagi mereka yang tidak mempedulikan soal moral, akhlak dan menyalahi undang-undang.

“SEBAB itulah unit STAFOC, STAGG dan STING ditubuhkan. Ia untuk menampungkan ruang kosong kesan dari pemansuhan undang-undang berkenaan.

“Dengan terbubarnya unit ini, perniagaan yang merosakkan masyarakat akan berkembang dan golongan haram ini pasti berpesta dengan kegiatan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara patut mempertahankan unit berkenaan daripada dibubarkan, bukan sekadar memberi alasan mudah.

“Sekilas ikan dalam air, sudah tahu jantan betinanya,” katanya.

Katanya, apakah kerajaan sudah lupa pengalaman memansuhkan Akta Dalam Negeri (ISA) dan EO, walaupun dibantah polis.

Cadangan itu, kata beliau, hanya untuk menambahbaik, bukan memansuhkan.

“Saya masih ingat ketika seorang diri sebagai wakil bebas di Dewan Rakyat, bercakap dan berhujah mempertahankan ISA agar tidak dimansuhkan walaupun saya dua kali ditahan di bawah ISA demi keselamatan rakyat dan negara.

“Kerajaan menerima tekanan kuat pembangkang ketika itu (DAP-PKR) dan badan-badan hak asasi.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu mahu mencari populariti menjelang PRU 13 dan akhirnya memansuhkan ISA.

“Selepas ISA dimansuhkan dapat dilihat bagaimana puak tertentu semakin ganas menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja dengan pelbagai cara. Polis pula sudah hilang instrumen untuk bertindak dengan berkesan bagi menangani isu seperti penghinaan terhadap Rasullulah SAW dan banyak lagi,” katanya.

Katanya, apabila keselamatan mula tergugat akibat tindakan ganas penjenayah yang dibiayai dalang terbabit, Kerajaan gubal undang-undang SOSMA dan menguatkuasakan Akta POCA.

“Maka PDRM menubuhkan unit tertentu bagi mendepani ancaman secara tegas dan berkesan.
Akhirnya ia menjadi halangan dan ancaman kepada penjenayah terancang ini.

“Jadi, apakah sebenarnya matlamat dan rasional serta mesej yang hendak ditonjolkan kepada rakyat atas pemansuhan undang-undang pencegahan dan pembubaran unit elit pengkuatkuasaan yang terbukti berkesan ini?” sola beliau.

Sehubungan itu, beliau menuntut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi penjelasan kepada rakyat, jika jenayah meningkat siapa akan dipersalahkan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: