Sabtu, 20 April 2019

Pengecilan penjawat awam: Kuota 1 peratus OKU tak terjejas

Kumara Sabapatty
MGF20042019_-MAJLIS-PENCAPAIAN-KECEMERLANGAN-PERSATUAN-ORANG-BUTA-MALAYSIA12-681x454
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Tan Sri Datuk Seri Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (empat kiri) bergambar kenangan bersama penerima anugerah, ahli-ahli Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi Orang Buta dan Cacat Penglihatan 2017/2018 di Auditorium Hospital Mata Tun Hussein, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI
 

PETALING JAYA – Kuota khas pengambilan satu peratus orang kelainan upaya (OKU) sebagai penjawat awam tidak akan terjejas dengan rancangan pengecilan saiz penjawat awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, situasi itu tidak akan berlaku sama sekali kerana kerajaan masih memerlukan ramai individu berkelayakan dalam kalangan OKU untuk memenuhi kekosongan sedia ada.

“Tidak..(pengecilan penjawat awam tak jejas satu peratus kuota) kerana kita nakkan ramai lagi menjawat jawatan itu.

“Sebab kalu ikutkan situasi sekarang ini, belum lagi dipenuhkan kekosongan (penjawat awam), jadi kita nakkan tempat tempat yang khusus untuk OKU itu dikekalkan untuk mereka penuhi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang untuk Orang Cacat Penglihatan, 2017/2018 di Dewan Hospital Mata Tun Hussein Onn hari ini.

Turut hadir Bendahari Kehormat Persatuan Buta Malaysia (MAB), S. Santhirasegaran merangkap pengerusi majlis tersebut.

Tambah Wan Azizah, kuota yang diperuntuk khusus oleh kerajaan untuk golongan istimewa itu akan dilindungi secara berterusan untuk memastikan penyertaan mereka dalam dasar dan pembangunan negara sentiasa diutamakan.

Ditanya sama ada kuota satu peratus sedia ada akan dipertingkatkan, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu juga menegaskan kerajaan ketika ini memberi tumpuan untuk memenuhi satu peratus terlebih dahulu.

“Untuk tujuan memenuhi kekosongan satu peratus itu oleh OKU kita telah menyusun langkah langkah ke arah itu. Kita nak pastikan peratus sedia ada dipenuhi OKU dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Justeru ujar Wan Azizah, kerajaan juga memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan komitmen majikan sektor korporat dan swasta.

“Kita ada sediakan insentif tentang bagaimana hendak ambil mereka dan kami mahu semua pihak berkepentingan sedar dan peka peranan masing masing dalam Tanggungjawab Sosial Korporat,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan dasar pengambilan satu peratus OKU sebagai kakitangan awam diperkenalkan pada tahun 1988 dan dilaksanakan menerusi Pekeliling Perkhidmatan 2008.

Tambah beliau, pada tahun 2010, Lembaga Pengambilan Kakitangan Awam yang bertanggungjawab, agensi serta kementerian menggariskan tindakan berkenaan.

Menurutnya, data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam setakat akhir tahun 2018, sejumlah 3,800 individu dalam kalangan OKU atau 0.31 peratus sahaja dilantik untuk pelbagai peringkat jawatan dalam perkhidmatan awam

“Daripada 700 permohonan yang diterima, hanya dua individu yang hilang keupaya penglihatan berjaya dipilih sebagai penjawat awam.

“Bagaimanapun, kementerian saya telah melepasi sasaran kuota 1 peratus itu dengan 144 jawatan (1.77 peratus) telah diisi OKU daripada keseluruhan 8,138 jawatan diikuti Kementerian Pertahanan iaitu 0.98 peratus jawatan diisi OKU manakala Pejabat Sekretariat Terengganu pula di tempat ketiga dengan 0.97 peratus kekosongan jawatan diisi OKU.“Saya pada masa yang sama percaya SPA dengan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan menyediakan satu pelan tindakan yang lebih efektif untuk melaksanakan dasar tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: