Sabtu, 27 April 2019

Pendaki Malaysia kritikal selepas terkandas di Gunung Annapurna

Mohammad Arif Nizam

chin-681x454


KATHMANDU – Pendaki Malaysia yang ditemui dalam keadaan terbuka di atas Gunung Annapurna, Nepal kini berada keadaan kritikal.

Dr Chin Wui Kin, 48, terkandas dua hari di gunung yang ketiga berbahaya di dunia itu selepas tiba pada Selasa lalu.

Sebaik ditemui, dia dibawa ke sebuah hospital di ibu negara Kathmandu menggunakan helikopter awal pagi semalam dan disertai isterinya.

“Ketika ditemui kadar degupan jantung dan suhu beliau amat rendah. Dia mengalami hipotermia teruk dan mempunyai luka beku di bahagian tangan dan kaki,” kata doktor kecemasan di Hospital Mediciti, Sanij Singh.

Selasa lalu, Dr Chin sampai ke puncak gunung banjaran Himalaya pada ketinggian 8,100 meter itu bersama 30 pendaki lain.

Namun dia gagal kembali ke kem terdekat yang terletak satu kilometer di bawah puncak.

Kemudian, empat pemandu arah pendaki ‘Sherpa’ dihantar ke sebuah kem lain pada ketinggian 6,500 meter dan selepas empat jam mencari dan mendaki, mereka menemui Dr Chin dalam keadaan separa sedar.

“Apa yang berlaku amat menakjubkan. Kami tidak sangka menemuinya masih hidup. Ia operasi sukar dan berisiko. Dr Chin hanya bercakap untuk meminta air panas,” kata penyelamat Nirmal Purja.

Penyelamat berkata, kelewatan operasi itu diburukkan lagi cuaca teruk selain pelepasan daripada sebuah syarikat insurans.

Difahamkan, helikopter terpaksa membuat empat kali cubaan untuk tiba ke kem bagi memindahkan Dr Chin dan kumpulan Sperpa yang menyelamatkan beliau.

Menurut akhbar Himalayan Times, Dr Chin kekurangan oksigen, makanan dan air selama lebih 43 jam.

Beliau adalah pendaki berpengalaman dan berjaya mendaki Gunung Everest, tahun lalu.

Wakil syarikat Seven Summits Treks, Mingma Sherpa semalam berkata, penemuan Dr Chin dalam keadaan masih hidup ‘adalah keajaiban’. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: