Rabu, 17 April 2019

PAS bantu BN di Sandakan

MALAYSIAKINI

   

PRK SANDAKAN | PAS akan membantu BN dalam menghadapi pilihan raya kecil parlimen Sandakan pada 11 Mei ini bagi menguatkan wakil pembangkang, maklum Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

“PAS mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang.

“Lebih-lebih lagi kerusi parlimen tersebut pernah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Anggota Parlimen Kota Bahru itu juga menjelaskan bahawa PAS akan membantu BN dalam menghadapi PRK di kerusi yang sebelum ini diwakili bekas pengerusi DAP Sabah, mendiang Stephen Wong Tien Fatt.

Wong yang juga bekas menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, meninggal dunia pada 28 Mac lepas di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu membawa kepada PRK ini.

“Selaras dengan itu, PAS Sandakan dan PAS Sabah khususnya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang dalam menghadapi PRK ini.

“PAS juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pihak pembangkang,” kata Takiyuddin.

PAS tidak pernah bertanding di parlimen Sandakan yang secara tradisionalnya merupakan kerusi majoriti pengundi Cina sebanyak 61 peratus, manakala pengundi beragama Islam sebanyak 35 peratus dan bukan Islam 4 peratus.

Pada pilihan raya umum Mei 2018, Wong memenangi kerusi P186 Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

Sebelum PRU14, kerusi itu disandang oleh Liew Vui Keong yang ketika itu mewakili LDP.
Sementara itu pada 2004, calon bebas Chong Hon Min memenangi kerusi itu.



Tiada ulasan: