Rabu, 17 April 2019

Najib tengking, tepis polis di luar mahkamah


   
Keadaan tegang di pekarangan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini apabila seorang individu mendakwa sebagai pelajar meluru kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas prosiding hari keempat tamat.

Lelaki yang memakai kemeja bewarna merah itu bertanya kepada Najib mengapa dia dihalang daripada mendengar perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd.

Namun situasi bertukar tegang apabila seorang anggota polis menarik lelaki terbabit daripada mengajukan soalan kepada bekas perdana menteri itu.

Najib pada mulanya mengatakan 'tidak payah' kepada anggota polis terbabit dan menepis tangannya sebelum menjerkah kepadanya.

“Tak payahlah,” sergah Najib.

Pelajar terbabit meneruskan soalannya berkaitan larangan pihak mahkamah terhadapnya.
Anggota Parlimen Pekan itu bagaimanapun memalingkan wajahnya kepada anggota polis berkenaan sebelum meminta maaf.

“Dia nak tanya sikit,” katanya kepada pegawai terbabit sambil memegang tangan lelaki terbabit.

Bagi menjawab soalan lelaki itu, Najib berkata perkara tersebut di luar bidang kuasanya.

“Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa,” kata Najib kepada lelaki berkenaan.

Najib kemudiannya masuk ke kereta dan berlalu pergi.

Sejurus selepas itu, lelaki terbabit bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice di Malaysia,” tegasnya yang enggan memberitahu namanya.


Tiada ulasan: