Jumaat, 26 April 2019

Matrikulasi: Tambah jumlah pelajar bukan penyelesaian, kata MIC


   
Keputusan kerajaan untuk menambah jumlah pengambilan pelajar kolej matrikulasi - seterusnya menambah bilangan pelajar bukan bumiputera - bukanlah penyelesaian yang dimahukan masyarakat India, kata seorang pemimpin MIC.

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC M Veeran berkata isu pokok yang membangkitkan rasa tidak puas hati segolongan masyarakat India ialah apa yang menurutnya sebagai sikap pilih kasih dan perkauman Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Nampaknya kementerian pendidikan cuba menyembunyikan sikap rasis mereka dengan menambah jumlah pengambilan.

"Saya tegaskan isunya bukan kuota tetapi sikap rasis kementerian pendidikan," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 18 April lalu, Senator S Ananthan menggesa kementerian pendidikan mendedahkan pengambilan pelajar Matrikulasi mengikut kaum bagi tahun ini.

Dalam laporan itu juga, Veeran mendakwa 1,000 kuota kaum India telah diberikan kepada pelajar Cina dan menggesa Maszlee atau timbalannya Teo Nie Ching menjelaskan perkara itu.

Untuk rekod terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun untuk kolej matrikulasi, dengan 22,500 tempat (90 peratus) untuk pelajar bumiputera dan baki 2,500 (10 peratus) untuk bukan bumiputera.

Dari segi paras pendapatan pula, Kementerian Pendidikan berkata 60 peratus tempat untuk pelajar daripada golongan B40 (berpendapatan rendah) dan baki 40 peratus akan diberikan untuk golongan M40 (menengah) dan berpendapatan tinggi (T20).

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam mengumumkan jumlah pengambilan akan ditingkatkan kepada 40,000 dengan peratusan pelajar bumiputera-bukan bumiputera dikekalkan.

Veeran tetap menggesa kerajaan meningkatkan pengambilan kaum India yang menurutnya pada masa ini masih di tahap yang rendah.

"Daripada 4,000 (10 peratus daripada 40,000) tempat untuk bukan bumiputera, saya harap sekurang-kurangnya 2,500 dapat diberikan kepada pelajar India."

Beliau juga meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atau Kementerian Pendidikan dapat memaklumkan jumlah yang diperuntukkan mengikut kaum kepada umum.


Tiada ulasan: