Selasa, 30 April 2019

Maruah Malaysia tercalar, kalah kepada Itali

Bernama
Maruah Malaysia tercalar, kalah kepada Itali
Aksi pemain Kebangsaan Najmi Jazlan (kanan) merebut bola dari pemain Itali Simone Minetto (kiri) sewaktu perlawanan Kumpulan B Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 29 April, 2019. - Foto BERNAMA
 

KUALA LUMPUR: Maruah Malaysia tercalar apabila diaibkan oleh Itali 4-2 pada perlawanan terakhir kumpulan dalam kempen Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Ternyata kedudukan ranking dunia dan kelebihan selaku tuan rumah tidak membantu skuad Malaysian Tigers merebut slot automatik ke pentas separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

Malaysia, selaku antara pasukan pilihan dengan ranking ke-13 dunia, kini terpaksa menempuh laluan berliku apabila mengharungi aksi play-off perebutan ke separuh akhir dengan menentang pasukan ketiga Kumpulan A, Wales, Rabu ini.

Itali di kedudukan ranking ke-32 dunia, muncul juara Kumpulan B dan tiket ke separuh akhir apabila menamatkan saingan kumpulan dengan mengutip maksimum sembilan mata.

Itali mengekalkan rekod bersih dengan mengalahkan China 2-1, Brazil 3-0 dan Malaysia 4-2.

Malaysia muncul naib juara kumpulan dengan empat mata selepas menang 6-0 ke atas Brazil, seri 4-4 dengan China dan tewas 4-2 kepada Itali.

Dalam perlawanan tersebut, skuad negara bimbingan Roelant Othmans bermula garang tetapi dua percubaan pukulan sudut penalti pada suku pertama, masing-masing oleh Fitri Saari dan Razie Rahim dinafikan oleh penjaga gol Itali, Francesco Padovani.

Bagaimanapun, Itali, yang menerima satu pukulan sudut penalti sepanjang suku pertama, berjaya disempurnakan oleh Thomas Keenan pada minit kesembilan apabila tolakan padat pemain skuad Azzurri itu gagal diselamatkan oleh penjaga gol negara, Hairi Abd Rahman.

Biarpun memiliki sedikit kelebihan menguasai perlawanan, skuad negara akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari pada minit ke-26.

Augustine Nunez meletakkan Itali di hadapan apabila melakukan jaringan pada pada minit ke-31 sebelum Razie dengan pantas menyamakan semula kedudukan menerusi pukulan sudut penalti, empat minit kemudian.

Namun ia tidak mematahkan semangat skuad Azzuri itu untuk terus memberi tekanan dan kembali semula di hadapan apabila Nunez menambah gol keduanya pada minit ke-43 sebelum jaringan Franciois Sior pada minit ke-45 mengesahkan kedudukan Itali di pentas separuh akhir.

Kemampuan skuad pelawat mengejutkan Malaysian Tigers juga disebabkan aksi cemerlang Padovani yang memainkan peranan utama dalam menafikan peluang jentera serangan negara memboloskan gawang lawan.

Padovani juga turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.

Seandainya, Malaysia mengatasi Wales pada pertarungan play-off, maka mereka perlu berdepan dengan Austria iaitu juara kumpulan A.

Sementara itu, Oltmans berang dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya.

"Saya terkejut dengan apa yang saya lihat hari ini.....standard in jauh lebih buruk daripada apa yang sebenar boleh ditunjukkan oleh pemain.

"Kami kalah dalam pertempuran hari ini tetapi perjuangan belum selesai. Harap dapat menyaksikan satu persembahan yang sungguh berlainan pada Rabu ini," katanya.

Berdasarkan format pertandingan, hanya dua pasukan layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Oktober dan November ini.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, China meraih kemenangan pertama apabila menewaskan Brazil 3-2 untuk menduduki tangga ketiga kumpulan dan seterus beraksi dalam pusingan play-off untuk merebut tempat ke saingan separuh akhir.

Dalam perlawanan itu, Brazil melakukan kejutan apabila mendahului 2-0 menerusi pukulan sudut penalti oleh Yuri Van der Heijden pada minit ketujuh dan Joaquin Lopez pada minit ke-10.

Bagaimanapun, China menghidupkan peluang ke saingan play-off menerusi jaringan Su Lixing pada minit ke-13 dan gol penyamaan oleh Tu Yuan Lian pada minit ke-45.

Penjaring terbanyak pasukan, Dong Yang, menjadi wira pasukan China apabila menyumbang gol kemenangan pada minit ke-54, sekali gus gol peribadi ketiga beliau sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan. -- BERNAMA

Tiada ulasan: