Ahad, 28 April 2019

Mansuh matrikulasi: DAP kolot, tak faham hala tuju pendidikan

Oleh Siti Fatimah Ishak 

Pemimpin DAP tak selesa peluang diberikan kepada Bumiputera



BANGI– Kenyataan bersama 20 pimpinan parti tamak haloba, DAP yang menggesa kerajaan menggantikan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) amat prejudis dan kolot, kata Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim).

Menyifatkan mereka masih tidak memahami dasar dan hala tuju pendidikan negara, Ketua Eksekutif Mappim, Mohd Zai Mustaffa berkata, pemimpin parti rasis itu seolah-olah menggunakan alasan kononnya mereka mengutamakan dan menyatukan sistem peperiksaan dalam pendidikan negara.

“Hakikatnya mereka tidak selesa dengan program matrikulasi yang banyak memberikan peluang dan kelebihan lebih besar kepada pelajar Bumiputera dengan kouta 90 peratus untuk memasuki pusat pengajian tinggi.

“Peluang yang lebih besar ini akan menyokong dan memperkukuhkan lagi hasrat dan matlamat dasar pendidikan negara. Itu yang mereka bimbangkan,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bersama yang dibuat 20 pemimpin DAP semalam, yang menggesa kerajaan menggantikan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM.

Sekumpulan pemimpin itu dilaporkan berkata, jemaah menteri harus mengurangkan bilangan pelajar program matrikulasi secara beransur-ansur, dan melangkah ke arah ‘menyatukan sistem peperiksaan kemasukan institusi pengajian tinggi awam’.

Antara pemimpin DAP yang menandatangani kenyataan bersama itu adalah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui; dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Gesaan itu antara beberapa cadangan jangka panjang dan pendek yang dikemukakan mereka berhubung kontroversi mengenai bilangan kuota pengambilan pelajar untuk kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagaimanapun, Mohd Zai yang juga Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan, program matrikulasi perlu diteruskan kerana banyak membantu pelajar Bumiputera untuk memasuki pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Katanya, pembelajaran matrikulasi juga lebih memfokus kepada bidang-bidang yang telah dipilih sejak daripada awal kursus ditawarkan, berbanding STPM yang lebih terbuka dan umum.

“Ini akan memberikan lebih daya saing dan intelektual yang lebih baik kepada pelajar kerana mereka telah mengalami proses pembelajaran yang lebih terbuka dan menyeluruh.

“Program matrikulasi juga umpama program ‘fast track’ ke pusat pengajian tinggi dan telah dijamin kualiti keputusan peperiksaan mereka bagi semua IPTA dan IPTS,” katanya.

Pada masa sama, Mappim menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan kouta kemasukan pelajar Bumiputera sebanyak 90 peratus dan menambah bilangan pelajar ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar.


Tiada ulasan: