Selasa, 30 April 2019

Malaysia tidak buka kedutaan di Israel - Marzuki

Astro Awani, Agensi
Malaysia tidak buka kedutaan di Israel - Marzuki
Marzuki menegaskan, Malaysia komited dalam memberi sokongan kepada Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. - Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Malaysia konsisten dengan pendiriannya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya hari ini.

Begitu juga, pendirian Malaysia terhadap Israel masih tidak berubah, iaitu tiada sebarang hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, katanya menurut laporan Bernama.

Beliau sekali gus menegaskan bahawa, kerajaan tidak akan sama sekali mempertimbang untuk membuka kedutaan besar Malaysia di Israel selagi konflik antara Palestin dan Israel tidak diselesaikan.

"Malaysia tidak akan berkompromi selagi penindasan ke atas rakyat Palestin masih berterusan dan tiada keikhlasan di pihak Israel untuk mencari penyelesaian saksama berhubung konflik Israel dengan Palestin," kata Marzuki.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya.

Tegasnya, Malaysia komited dalam memberi sokongan kepada Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan padu kepada Palestin dan rakyatnya, baik dari segi politik, ekonomi dan moral.

"Malah, kerajaan turut memberi bantuan berbentuk kemanusiaan, kewangan serta sumbangan untuk pembangunan infrastruktur asas dan pembangunan kapasiti, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mahupun melalui pertubuhan antarabangsa dan badan bukan kerajaan," tambah Marzuki.

Baru-baru ini, Senator Nga Hock Cheh pada sidang Dewan Negara telah mencadangkan supaya kedutaan Malaysia diwujudkan di Palestin dan Israel apabila ada cadangan supaya ia ditubuhkan di Palestin.

Bagaimanapun, beliau telah menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf pada 25 April lalu.

Tiada ulasan: