Sabtu, 27 April 2019

Lima penjuru di Sandakan



   
PRK SANDAKAN | Pilihan raya kecil (PRK) Sandakan menyaksikan pertandingan lima penjuru, seperti yang diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini.

Selain calon DAP, Vivian Wong dan calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Linda Tsen, tiga calon bebas akan bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Vivian, 30 merupakan anak bongsu kepada Anggota Parlimen Sandakan sebelum ini, mendiang Stephen Wong.

Tsen pula adalah bekas Anggota Parlimen Batu Sapi yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya kecil 2010 selepas suaminya yang juga penyandang kerusi berkenaan, Edmund Chong meninggal dunia dalam kemalangan.

Calon-calon Bebas yang bertanding pada PRK ini ialah Hamzah Abdullah, Chia Siew Yong dan Sulaiman Abdul Samad.

Hamzah yang berusia 65 tahun adalah bekas pengerusi Amanah Sabah dan bekas pesuruhjaya PAS Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dihantar pagi ini, Amanah mengesahkan Hamzah telah menghantar notis untuk keluar daripada parti itu semalam.

Terdahulu Hamzah yang tewas di kerusi Parlimen Batu Sapi pada PRU14, dilapor meletak jawatan daripada partinya pada Ogos lalu, selepas mendakwa tidak mendapat kerjasama beberapa ahli parti Sabah.

Sementara itu, Chia terlibat dalam perniagaan minyak kelapa sawit yang diusahakan keluarganya.
Berusia 46 tahun, Chia merupakan penasihat NGO Suara Bebas Rakyat.

Selain itu Sulaiman adalah bekas pembantu tadbir di pusat khidmat Anggota Parlimen Sandakan sebelum ini.

Kerusi Parlimen Batu Sapi terletak bersebelahan dengan kerusi Sandakan.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian Stephen pada 28 Mac lalu.

Hari pengundian bagi PRK berkenaan ditetapkan pada 11 Mei.

Terdapat 39,777 pengundi di Sandakan, dengan 51 peratus pengundi adalah Cina, 26 peratus Bumiputera Sabah, 16 peratus Melayu dan 7 peratus lain-lain kaum.

Pengerusi SPR, Azmi Sharom dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon hari ini berkata suruhanjaya itu menjangkakan jumlah keluar mengundi sebanyak 70 peratus pada PRK kali ini.

Beliau juga berkata suruhanjaya itu memutuskan agar waktu mengundi diadakan setengah jam lebih awal berbanding dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang seperti kebiasaan.

Susulan itu, waktu mengundi ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang pada hari mengundi, 11 Mei ini.


Tiada ulasan: