Ahad, 28 April 2019

Letak kembali sektor pendidikan di landasannya

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

BERBANGKITNYA polemik kuota matrikulasi dan beban guru menunjukkan sektor pendidikan negara masih dilingkari oleh banyak kemelut. Namun, kerajaan sendiri perlu mengubah orientasinya jika benar-benar komited menyelesaikan masalah yang wujud.
 
Ketika di bawah teraju BN, sektor ini diheret ke kancah perniagaan yang hanya menguntungkan dan mengkayakan pihak tertentu. Tetapi sejak era PH, pendidikan menjadi mainan politik dan sentimen perkauman. Akibatnya, keadaan pincang kekal berulang.
 
Kuota matrikulasi sedia ada tidak sepatutnya dirungkai usik. Sebaliknya, dengan perkembangan semasa, peruntukan kerusi matrikulasi perlu diperbanyakkan lagi. Termasuk diberikan juga kepada pelajar bukan Bumiputera dengan kelayakan setara.
 
Dengan jumlah kerusi mencukupi bersama penambahan selaras di Institut Pengajian Tinggi Awam, kuota boleh ditetapkan selepasnya. Iaitu diutamakan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40), selain mengembalikan biasiswa dan dermasiswa.
 
Kami ingin mengingatkan DAP dan sesiapa sahaja supaya jangan lagi mempolitik dan mensentimenkan isu ini. Jika serius mahu masalah pendidikan diatasi, maka desakan berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) juga mesti dihentikan.
 
Kerana ia hanya akan menyebabkan hala tuju pendidikan menjadi terbabas dari landasannya. Begitu juga peruntukan kewangan mestilah diberi secara adil dengan keutamaan keperluan. Jika tidak, kesaksamaan diperjuangkan PH hanyalah bohong.
 
Kerajaan juga dituntut supaya serius menamatkan segera isu beban guru sebagaimana diutarakan Ketua Pengarah Pelajaran, Dato' Dr Amin Senin. Guru-guru tidak harus sama sekali menanggung kerja pentadbiran dan luar dari tugas hakiki.
 
Hakikatnya, nisbah guru dengan pelajar mesti segera diatasi bagi memenuhi keperluan yang semakin mendesak. Jika kerajaan menyelami sebaiknya masalah ini, nescaya cadangan mengecilkan perkhidmatan awam tidak berbangkit buat masa ini.
 
Kami juga menyeru para pelabur dan GLC melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mendanai sektor pendidikan. Kerajaan pula dicadang memperkenalkan insentif cukai baharu atas CSR tersebut ke arah memperkasakan pendidikan.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
*IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: