Jumaat, 26 April 2019

Larangan merokok di tempat makan dilanjut hingga Disember

tyrazalhe 

Jumlah perokok mendaftar untuk berhenti meningkat kepada 580 orang


BANGI– Kementerian Kesihatan (KKM) akan melanjutkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok kepada enam bulan sehingga akhir Disember ini, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu berkata, langkah itu bagi memberikan peluang yang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai bahayanya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada sepuluh kementerian lain dan satu wakil badan bukan kerajaan pada 16 April lalu, bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

“Penagguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sejak dikuat kuasakan pada 1 Januari lalu, rata-rata masyarakat di Malaysia telah mematuhi larangan itu secara baik, dan berpendapat bahawa ia telah memberikan kesan yang sangat positif.

“Ini menunjukkan komitmen rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini bagi memastikan kesihatan dan keselesaan semua orang ketika menikmati makanan di tempat awam.

“Kenyataan di atas telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh pihak Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia di mana kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan,” katanya.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan bermula 1 April hingga 17 April lalu, 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah tersenarai sebagai tempat makan yang tidak mematuhi larangan ini, pada peringkat permulaan pelaksanaan peraturan berkenaan.

Beliau berkata, kajian itu dilaksanakan dengan tujuan melihat kepatuhan masyarakat terhadap larangan merokok melalui kaedah pemerhatian secara terus di semua 173 tempat makan yang disenaraikan.

” Antara pemerhatian yang dibuat adalah paparan tanda larangan merokok yang jelas dan kehadiran tempat abu rokok di dalam tempat makan. Pemerhatian juga dibuat berkaitan kehadiran pelanggan yang merokok di dalam kawasan yang diwartakan.

“Secara purata 170 (98 peratus) tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan dan 131 (76 peratus) tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.

Dr Dzulkefly berkata, 60 peratus tempat makan adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok, manakala 40 peratus tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok.

“Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my di mana bilangan berdaftar telah meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding dengan purata 428 orang bagi tahun–tahun sebelumnya,” katanya.


Tiada ulasan: