Khamis, 18 April 2019

Kos pembinaan 2 tangki tambahan kediaman Najib RM56,500, kata saksi

Bernama

Najib Razak. (Bernama pic)
  KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kos pemasangan 2 tangki tambahan di kediaman bekas Perdana Menteri, Najib Razak berjumlah RM56,500.

Saksi pendakwaan ke-7, pengarah urusan Syarikat MOZ (M) Sdn Bhd, Mohammed Zakariyya Zearat Khan, 35, yang bertanggungjawab melakukan kerja penambahan tangki itu berkata, pemasangan itu dilakukan selepas menerima panggilan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenai gangguan bekalan air di kediaman bekas perdana menteri itu.

“Syabas memaklumkan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta kerap berlaku gangguan bekalan air kerana terletak di kawasan berbukit,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari ke-5 hari ini.

Saksi itu turut berkata beliau menerima 1 cek berjumlah RM56,500 daripada Amirul Hadi, yang merupakan pengurus kediaman Najib yang terletak di Jalan Langgak Duta tersebut, bagi tujuan pembayaran kerja pemasangan tangki tambahan tersebut.
Muhammad Saifuddin: Kamu ada mengeluarkan apa-apa sebut harga bagi kerja-kerja penambahan ini?

Mohammed Zakariyya: Ya, ada.

Muhammad Saifuddin: Untuk berapa jumlahnya?

Mohammed Zakariyya: Pada mulanya harga RM50,000 kemudian ada tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan RM56,500.

Saksi kemudian dirujuk dengan 1 invois oleh pihak pendakwaan.

Muhammad Saifuddin: Boleh kamu lihat invois itu, adakah ia invois syarikat kamu?

Mohammed Zakariyya: Ya, invois syarikat bertarikh 12 Feb 2015 dan tandatangan saya di bawah cek tersebut.

Beliau berkata jumlah tersebut meliputi kerja pembinaan 2 tangki air booster jenis fiber masing-masing berkapasiti 6,000 liter dengan pemasangan konkrit, panel untuk kawalan rumah pam dan rumah pam itu sendiri, yang siap dalam tempoh 2 minggu.

Ketika ditanya pihak pembelaan mengenai anggaran individu yang dapat ditampung oleh tangki dibinanya, Mohammed Zakariyya berkata ia dapat digunakan oleh 10 hingga 20 orang.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggaran itu dibuat berdasarkan jumlah penghuni rumah termasuk tetamu yang datang ke rumah tersebut seperti pelajar tahfiz yang selalu mengadakan majlis bacaan surah Yasin beberapa kali dalam seminggu.

Beliau turut berkata pemasangan 2 tangki tambahan tersebut keperluan bagi kediaman tersebut dan bukan kemewahan.

Najib, 66, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tiada ulasan: