Sabtu, 27 April 2019

Kadar zakat fitrah Selangor kekal

Siraj Mohd Zaini
 
 
 

KADAR zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 seperti tahun sebelumnya.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan menyatakan, penentuan kadar berkenaan adalah berdasarkan kepada harga semasa beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu 2.6 kilogram (kg).

Bagaimanapun, individu berkemampuan boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan.

"Kadar zakat fitrah terbabit adalah sebanyak RM14 seorang bagi beras bernilai RM13 hingga RM44 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21 seorang bagi beras yang bernilai lebih RM44.

"Namun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7 adalah sebagai galakan dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor," kata kenyataan itu.

Sementara itu, LZS melantik 2,754 penolong amil fitrah di seluruh negeri ini bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan.

"Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.

"Selain itu, zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 14 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 Penolong Amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor," katanya.

Tiada ulasan: