Khamis, 18 April 2019

Empat jenama minyak masak, air Spritzer halal: Jakim

tyrazalhe 


BANGI– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan kononnya beberapa jenama minyak masak, termasuk air minuman Spritzer mengandungi bahan tidak halal.

Dalam satu kenyataan, Jakim menerusi Bahagian Hab Halal memaklumkan, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pengguna media sosial berkenaan status halal membabit produk minyak masak berjenama Helang, Vesawit, Knife dan Buruh.

Katanya, ia susulan tular dakwaan bahawa produk terbabit, termasuk minuman berjenama Spritzer telah diputuskan haram oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 26 Mei 2014, kerana menggunakan gelatin lemak babi serta binatang yang tidak halal.

“Kami menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan keputusan sedemikian melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut, adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, minyak masak jenama Helang dan Vesawit keluaran Syarikat Yee Lee Edible Oils Sdn Bhd, minyak masak jenama Knife dan Buruh keluaran Syarikat Lam Soon Oils Sdn Bhd serta minuman jenama Spritzer keluaran Syarikat Chuan Sin Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga ke hari ini,” katanya.

Justeru, Jakim menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu perkara tular berkaitan isu halal, yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak bertanggungjawab.

Katanya, ia bagi mengelakkan daripada terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah serta menjejaskan keharmonian negara.

“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal,” katanya.


Tiada ulasan: