Isnin, 29 April 2019

Deruan angin bawa gerun

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
 
 

PARIT BUNTAR: “Kami terkejut dan tergamam apabila melihat bumbung rumah diterbangkan angin selain bunyi deruan yang sangat menakutkan,” kata mangsa ribut dari Kampung Parit Mat Ali Tengah, di sini, Rosnan Mat Saad, 33.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, sebanyak 17 rumah dari tiga kampung di daerah itu rosak akibat dibadai ribut.

Selain Kampung Parit Mat Ali, turut dilanda ribut Kampung Sungai Baru Darat dan Kampung Parit Tok Hin.

Difahamkan, Masjid As Syafiq di Sungai Baru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru turut terjejas dalam kejadian itu.

Rosnan berkata, ketika kejadian dia bersama abang serta ibunya tidur dan tersedar selepas mendengar bunyi kuat pada bahagian atas bumbung rumah.

“Bunyi deruan sangat menakutkan, ribut begitu kuat kerana badan kami sendiri berasa terapung.


BUMBUNG Masjid As Syafiq, Sungai Baru tercabut akibat 
dibadai ribut.
 
“Kami tiga beranak bersandar pada dinding rumah dan berdoa kepada Allah supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, selain bumbung rosak teruk, tiga kereta yang diletakkan di depan rumah turut rosak termasuk satu daripadanya terbalik akibat dilanda ribut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya bersama Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan wakil Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar sudah meninjau lokasi berkenaan.

“Tinjauan mendapati semua rumah mengalami kerosakan teruk dan kami sudah memberikan bantuan awal kepada penduduk terbabit.

“Masjid As Syafiq di Sungai Baru didapati mengalami kerosakan teruk dan nilai kerosakan dianggarkan kira-kira RM200,000.


KEADAAN Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, Kuala Kurau 
selepas dilanda ribut.
 
“Buat sementara waktu, masjid yang boleh menampung 700 jemaah itu tidak dapat digunakan sepenuhnya, Pusat Khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Kurau akan menyediakan khemah serta alatan sementara di luar kawasan masjid itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabli berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian kepada kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar Perak untuk mendapatkan bantuan segera.

“Buat masa ini, pihak kami akan mengusahakan bantuan awal daripada Tabung Bencana Daerah dan pada masa sama, Jabatan Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai jumlah kerosakan Masjid As Syafiq dan SK Sungai Baru,” katanya.

Tiada ulasan: