Selasa, 16 April 2019

DAP KELANTAN: PAS TIDAK TERGUGAT

Wartawan Watan-Online
 



Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan PAS tidak tergugat dengan DAP yang kini meluaskan cawangan di negeri tersebut.

Mohd Amar berkata walaupun DAP Kelantan mendakwa konon parti itu semakin mendapat tempat, beliau yakin rakyat tidak akan menyokong DAP melainkan segelintir masyarakat Cina yang kecewa dengan MCA.

“Hidup ini memang penuh cabaran dan pertembungan ini biasa. Jika mereka (DAP) kata mereka semakin kuat, jadi kita (PAS) pun kena berusaha bersungguh-sungguh.

“Namun saya percaya orang Kelantan yang memahami agama tidak akan menyokong DAP, mungkin masyarakat Cina yang kecewa dengan MCA sahaja menyokong mereka.

“Itu kita tak boleh nak halang, lagipun kita sebuah negara demokrasi. Macam kita buka kedai makanlah, atas pandai kita buat menu yang menarik, orang akan datang kedai kita,” katanya lapor media selepas menyampaikan kuliah agama di Medan Ilmu di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Terdahulu media melaporkan Pengarah Biro Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen mendakwa parti itu mendapat penerimaan baik apabila berjaya menubuhkan 26 cawangan di seluruh Kelantan iaitu pertambahan 22 cawangan selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14).


Tiada ulasan: