Rabu, 17 April 2019

Berapa jangkaan ‘ridership’ harian ECRL kini, kata Pemuda Umno

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan menjawab persoalan yang timbul susulan daripada pemeteraian perjanjian projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan kerajaan China baru-baru ini.

Naib Ketua Shahril Hamdan berkata pengurusan kos kepada RM44 bilion bukan menghairankan kerana jajaran baru tidak lagi memerlukan terowong sepanjang 18km, pengurangan jarak dan beberapa buah stesen, serta lanjutan tempoh pembinaan daripada 2024 kepada 2026.

Bagaimanapun, kerajaan perlu menjawab berapakah jangkaan “ridership” harian ECRL itu apabila laluan diubah melalui Negeri Sembilan.

“Jajaran baru tidak lagi akan melalui kawasan Bentong dan Gombak yang sebelum ini merupakan kawasan yang dijangka mendapat ‘ridership’ yang paling tinggi,” katanya.

Soalan itu salah satu daripada 4 soalan yang dikemukakan pemimpin Pemuda Umno itu di Facebook.

Shahril menarik perhatian kepada perkongsian secara bersama pengendalian operasi dan penyelenggaraan ECRL dengan syarikat China menerusi perjanjian baru itu.

Beliau mengingatkan pembacanya bahawa pengangkutan adalah aset strategik negara, tetapi pentadbiran lepas dituduh menjual negara walaupun perjanjian lama menetapkan ECRL 100% kendalian syarikat milik kerajaan.

“Adakah dengan perkongsian 50:50 ini akan meletakkan aset strategik negara ini dalam apa-apa risiko pada masa hadapan?”

Shahril mengambil maklum kerajaan belum memuktamadkan jumlah pinjaman yang akan diperoleh daripada bank milik kerajaan China, Export–Import Bank of China.

Beliau berkata perjanjian sebelum ini hanya merangkumi kos pembinaan Fasa 1 berjumlah RM39 bilion, dan ia diakui kerajaan hari ini.

“Bilakah jangkaan perjanjian baru akan dibuat dan adakah terdapat kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan dalam perjanjian baru nanti?”

Soalan terakhir yang Shahril mahu dijawab adalah kerajaan pernah ditawarkan kos pembinaan ECRL berharga RM10 bilion sahaja.

“Apa yang telah terjadi dengan tawaran ini dan mengapakah ianya tidak diterima oleh kerajaan?”

Pada Jumaat, Putrajaya mengumumkan hasil rundingan semula projek dengan China Communications Construction Company, yang membawa kepada perjanjian tambahan untuk meneruskan projek itu dengan beberapa perubahan pada struktur dan kos.

Kerajaan berkata ia berjaya mengurangkan kos bagi Fasa 1 dan 2 ECRL sebanyak RM21 bilion kepada RM44 bilion, daripada kos asal, RM65.5 bilion.

Pengkritik bagaimanapun mempersoalkan dakwaan penjimatan itu, mengatakan ia tidak tepat kerana saiz projek dikurangkan.

Jajaran baru ECRL kini bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang, melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Klawang, Bangi/Kajang dan Putrajaya.

Tiada ulasan: