Sabtu, 20 April 2019

Audio singkir MB: Ingatkan rakaman lama, kata exco Perak


   

Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Perak, Asmuni Awi mendakwa beliau belum mendengar rakaman audio yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kerajaan negeri itu berhubung cubaan menyingkirkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Asmuni yang namanya turut dikaitkan dalam rakaman audio itu turut menafikan tuduhan itu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan itu berkata, beliau tidak tahu jika wujud gerakan baru untuk menggulingkan Ahmad Faizal.

"Saya belum mendengar lagi (rakaman suara). Saya masih menunggu dan berharap akan ada orang sampaikan pada saya.

"Saya ingatkan yang lama (rakaman suara), rupanya baru. Tapi dalam kerajaan, kami Amanah, PKR, begitu juga DAP, berdiri teguh di belakang MB," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat yang tular sejak 17 April lalu itu mengandungi perbualan yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Ahmad Faizal mentadbir kerajaan negeri Perak selepas PH menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.
Salah seorang individu dalam rakaman audio itu yang mengaku mempunyai hubungan baik dengan pihak istana negeri juga berkata usaha untuk menukar penyandang jawatan menteri besar itu hanya menunggu "lampu hijau dari Tun" yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Turut dikaitkan dalam rakaman audio itu ialah Asmuni.

Selain itu, rakaman audio tular berkenaan turut mengandungi kritikan yang mengatakan Ahmad Faizal sering lewat menghadiri mesyuarat.

"Tak timbul soal MB lewat datang, kita pagi-pagi ada sesi taklimat. Saya pun kadang-kadang lewat, macam kita datang sidang DUN, adakalanya perlu keluar, ada mesyuarat dan sebagainya. Bukannya balik tidur," kata Asmuni.

'Tidak lagi tergagap-gagap'

Semalam, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari, menafikan rakaman audio itu miliknya.

Sementara itu Asmuni mengakui bahawa pada peringkat awal Ahmad Faizal menjadi menteri besar masih lagi "tergagap-gagap", namun semua itu tidak lagi berlaku kini.

Bahkan katanya, Ahmad Faizal kini mula mantap dan sudah mula menguasai kerajaan dan boleh menerima teguran mahupun pandangan.

"Saya nampak MB makin lama makin mantap menguasai kerajaan. Walaupun "tergagap" sana-sini, biasalah masih baru," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah bertanyakan Abdul Aziz Bari berhubung rakaman audio berkenaan, Asmuni berkata beliau masih belum berkesempatan untuk berbuat demikian.


Tiada ulasan: