Sabtu, 27 April 2019

Ahli gabungan Kafa mahu Bibi Ramjani undur secara terhormat

Bernama
Ahli gabungan Kafa mahu Bibi Ramjani undur secara terhormat
Bibi Ramjani disifatkan hanya mengikut caranya sendiri sahaja menguruskan Kafa. - Gambar fail
 
 
KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan diberi pilihan untuk melepaskan jawatan secara terhormat atau berdepan dengan undi tidak percaya pada kongres tergempar persatuan itu dalam masa dekat.

Yang Dipertua Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad berkata, pilihan itu merupakan jalan terbaik yang dipilih oleh PBJ, selaku ahli gabungan Kafa, dengan mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM), Jun ini.

"Bibi Ramjani terbukti gagal memimpin bola sepak Kelantan dengan berkesan dan masanya sudah tiba bagi beliau melepaskan jawatan tersebut.

"Kalau dia tidak mahu letak jawatan, kami (PBJ) sepakat akan mengadakan undi tidak percaya pada EGM nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarudin berkata presiden wanita itu dilihat tidak mampu dan tidak tahu mengenai pengurusan bola sepak sehingga memberikan kesan kepada pasukan Kelantan ketika ini.
 
"Urus Kafa bukan macam uruskan syarikat, sedangkan bola sepak perlu melihat banyak aspek...ada penyokong, pemain dan kewangan. Kalau nak cari untung memang tidak boleh," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) KLIA mendesak Bibi Ramjani melepaskan jawatan bagi mengelakkan lebih banyak malapetaka menimpa bola sepak Kelantan.

Kamaruddin mendakwa rata-rata ahli PBJ kecewa dengan kemelut yang melanda pasukan Kelantan dan mereka sudah bersedia melakukan perubahan pucuk pimpinan sekali pun penggal pentadbiran Bibi Ramjani hanya akan berakhir pada 2021.

"Semua ahli PBJ menghubungi saya dan meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku, ketika ini. Bibi Ramjani telah membelakangi PBJ selepas menang, dia ikut cara dia sahaja urus Kafa.

"PBJ diabaikan dan kami ini hanya jadi platform atau alat untuk dia jadi presiden selepas dapat jawatan dia tidak tunai janji dengan PBJ. Lihat berapa PBJ yang dapat geran seperti dijanjikan, kalau tidak silap saya hanya tiga sahaja," katanya.

Katanya, beliau merupakan antara 'otai' yang pernah bersama Kafa sejak dua dekad lalu dan PBJ akan berusaha mencari pengganti sesuai yang boleh memacu martabat bola sepak Kelantan ke arah lebih baik.

"Calonnya kita sudah kenal pasti cuma sekarang nak pastikan sama ada dia boleh komited membawa masuk dana ke dalam Kafa.

"Kalau dia atau sesiapa sekali pun tidak mampu cari penaja, bola sepak Kelantan tidak akan ke mana-mana.

PBJ sendiri akan nilai sama ada pelan calon ini mampu atau tidak untuk bantu bola sepak Kelantan," katanya.

Bibi Ramjani, yang juga seorang usahawan, menawarkan diri menerajui badan induk itu dan memenangi kerusi terbabit pada Kongres Tahunan Kafa ke-63 pada 2017. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: