Rabu, 17 April 2019

'Adun Umno rosakkan perpaduan, bukan sekolah vernakular'

MALAYSIAKINI

   

Presiden Gerakan, Dominic Lau menyangkal kenyataan Adun Kemayan dari Umno yang mengatakan sekolah vernakular merosakkan perpaduan di negara ini.

Sebaliknya Dominic berkata kenyataan Mohd Fadil semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang semalam, sebenarnya yang telah merosakkan keharmonian kaum.

"Kenyataan yang dibuat oleh Mohd Fadil jelas menunjukkan bahawa beliau tidak berfikir secara sihat.

"Kenyataannya hanya akan menghancurkan hubungan antara kumpulan etnik dan tidak mendatangkan manfaat kepada Malaysia.

"Beliau harus ingat bahawa generasi baru Malaysia tidak lagi menerima pemimpin yang berfikiran sempit dan perkauman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadil semalam mendakwa pelajar daripada sekolah aliran Cina dan Tamil adalah seperti "orang asing" yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Lau mempersoalkan sama ada Mohd Fadil mempunyai bukti terhadap tuduhan berkenaan sedangkan sekolah vernakular telah melahirkan banyak bakat dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

"Jika diminta Mohd Fadil, kita boleh aturkan untuk buktikan pelajar sekolah Cina dan Tamil boleh berbahasa Melayu dengan lancar dan juga berdebat dengannya dalam bahasa Melayu," katanya sambil menambah ramai pelajar Melayu kini menuntut di sekolah-sekolah vernakular Cina.

Tambah beliau, kenyataan melampau dan perkauman seperti itu merupakan salah satu sebab BN tewas pada pilihan raya umum lalu.


Tiada ulasan: