Rabu, 17 April 2019

Adun Skudai digugurkan sebagai Exco Johor

ainaa syaza

Setiausaha DAP negeri sahkan nama tak tersenarai dalam rombakan


JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin hari ini mengesahkan bahawa namanya akan digugurkan dari barisan baharu anggota exco kerajaan negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata, beliau tahu mengenai rombakan exco itu Isnin lalu, sehari selepas ADUN Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-17 di Istana Bukit Serene.

“Saya telah dimaklumkan bahawa saya akan diganti,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp di sini, hari ini.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai langkah beliau selanjutnya, setiausaha DAP Johor itu berkata, beliau akan serahkan perkara itu kepada kepimpinan parti.

“Saya dipilih oleh pengundi kerana mereka mahukan seorang ADUN, bukan seorang exco, jadi saya akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai ADUN,” katanya.

Tan adalah salah satu daripada dua nama yang dilaporkan oleh sebuah portal berita atas talian yang akan digugurkan daripada senarai exco, semalam.

Selain itu, satu lagi nama adalah Mazlan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu hari ini, Dr Sahruddin berkata, barisan baru anggota exco kerajaan negeri akan diumumkan menjelang akhir minggu ini. – Bernama


Tiada ulasan: