Sabtu, 30 Mac 2019

'Yang gila dan sewel sebenarnya Zaid Ibrahim' - Khairuddin Hassan

Hasimi Muhamad, Astro Awani
'Yang gila dan sewel sebenarnya Zaid Ibrahim' -  Khairuddin Hassan
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH) itu berkata, yang gila serta sewel sebenarnya adalah Zaid. - Gambar Astro AWANI / SHAHIR OMAR
 

KUALA LUMPUR: Ibarat memberikan bola tanggung, Datuk Seri Khairuddin Hassan pantas melemparkan balik kenyataan "ini kerajaan gila" yang dibuat oleh Datuk Zaid Ibrahim kepada Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH) itu berkata: "Yang gila serta sewel sebenarnya adalah Zaid."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid yang menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai 'gila' kerana tidak mendedahkan laporan akhir Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

“Sesungguhnya, Zaid Ibrahim adalah kalangan atau ahli PH yang kecewa kerana beliau tidak diberi apa-apa jawatan masa kini.

“Beliau penat melompat dari satu parti ke satu parti tetapi berkesudahan dengan tidak dapat sebarang jawatan masa kini! Zaid ibrahim amat 'merapu' dan 'merepek' sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

 Dalam kemas kini di Twitter hari ini, Zaid berkata kerajaan mesti telus dalam membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan sepatutnya laporan berkenaan CEP perlu didedahkan kepada orang awam supaya dapat membaca dan membincangkannya.

Menurutnya, Tun Daim Zainuddin dan anggota CEP lain bekerja keras untuk menyediakan laporan itu.

“Kita perlu membaca laporan itu dan berbincang. Tetapi kerajaan Pakatan Harapan mengklasifikasikannya sebagai rahsia rasmi. Kerajaan ini gila,” katanya dalam entri tersebut.

BACA: "Yang gila dan sewel sebenarnya Zaid Ibrahim" -  Khairuddin Hassan

BACA: Kenyataan Nurul Izzah beri kesan negatif kepada PH - Khairuddin


Bidas Khairuddin yang juga Penyelaras Parlimen Jasin, Zaid sebagai bekas menteri undang-undang langsung tidak memahami undang-undang dan hanya pandai bercakap, selain tidak menghormati peraturan kerajaan.

Katanya, Zaid sepatutnya faham dan akur mana-mana laporan kerajaan yang diklasifikasikan sebagai 'OSA' tidak boleh dizahirkan sebagai bahan untuk tatapan umum.

“Ini hal ehwal pentadbiran kerajaan yang tidak boleh dihebahkan. Bukan semua fakta-fakta pentadbiran kerajaan yang boleh diuar-uarkan secara terbuka kepada pengetahuan umum.

“Apa masalah dengan Zaid Ibrahim? Kenapa beliau kalut sangat nak tahu rahsia-rahsia kerajaan?! Beliau tiada kaitan dengan kerajaan dan bukan penjawat awam!!

“Mana ada kerajaan di dalam dunia ini yang akan melayani permintaan orang awam untuk mengetahui hal ehwal pentadbiran kerajaan yang diklasifikasikan sebagai sulit. Ada risiko tertentu sekiranya kita berbuat demikian,” katanya.

Khairuddin turut melontarkan pertanyaan kepada Zaid, adakah beliau secara sewenang-wenangnya menzahirkan matlumat sulit kerajaan kepada orang awam ketika memegang jawatan sebagai menteri undang-undang suatu ketika dulu.

“Sebab itu saya kata Zaid adalah politikus yang tidak relevan lagi!! Beliau hanya mahu perhatian serta mencari publisiti murahan saja,” ujarnya.

LIHAT TWITTER DI SINI




Tiada ulasan: