Ahad, 31 Mac 2019

TOK MAT LAMBANG HARAPAN RAKYAT

Wartawan Watan-Online
 



Bekas menteri besar Negeri Sembilan yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan simbol kepada harapan rakyat pada ketika ini.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata selepas hampir setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir, rakyat mula sedar bahawa PH tidak boleh diletakkan harapan malah harapan itu telah kembali diletakkan kepada BN.

Justeru beliau berkata sebagai Pemangku Pengerusi BN, kemenangan Mohamad sudah tentu memberikan isyarat amaran kepada PH bahawa rakyat kini telah bangkit akibat kecewa dengan kegagalan PH.

“Tok Mat adalah harapan rakyat, Tok Mat menang kebangkitan rakyat dan kerajaan PH akan jadi kerajaan satu penggal, Pilihan Raya Umum Ke-15 kita pastikan BN rampas semula kerajaan Persekutuan dan Negeri Sembilan.

“Beliau menjalankan tugas Presiden UMNO menang di Cameron Highlands, Semenyih dan akan melengkapkan hatrik di Rantau. Tok Mat telah berikan satu sentuhan ajaib kepada UMNO dan BN,” katanya ketika berucap dalam Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Sagga, Rantau, Negeri Sembilan pada malam Sabtu.

Tambah beliau, PRK Rantau turut bertindak sebagai membalas jasa Mohamad Hasan sebagai bekas menteri besar Negeri Sembilan yang banyak mencurahkan bakti ke negeri dan DUN tersebut.

“Tidak ada pemimpin lain yang mana namanya sinonim dengan kawasannya seperti mana Tok Mat.
Bila kita sebut Rantau mesti orang akan ingat Tok Mat, bila kita cakap Tok Mat tiada tempat lain, mesti kita sebut Rantau.

“Jadi sekiranya ada jasa daripada Tok Mat, inilah pula masa untuk kita berjasa semula kepada beliau dengan penduduk Rantau mengundi dan memberi kemenangan besar kepada Tok Mat pada 13 April nanti,” katanya.


Tiada ulasan: