Rabu, 27 Mac 2019

Statut Rom: Pisang berbuah dua kali

Rahman Talib
xICC-681x588
Logo ICC
 

ISU berkenaan Statut Rome bagaikan boleh dijangka.

Setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan yakin dan bertindak secara sendiri menandatangani Statut tersebut, baru semalam Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan telah membuat u-turn dan menyatakan bahawa tidak semua peruntukan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan dilaksanakan di Malaysia.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerajaan akan melihat kandungan perjanjian itu, dan memilih perkara yang baik dan boleh diterima masyarakat umum di negara ini.

Walaupun contoh yang dberikan Tun Mahathir berkenaan perkara yang tidak boleh dilaksanakan pelik dan janggal dalam konteks Statut Rom, perkara itu sekali lagi mengundang pelbagai ketidaktentuan hasil daripada pendekatan gelojoh yang diambil kerajaan PH.

Mengikut laporan media, Tun Mahathir telah menyatakan kebebasan mutlak untuk melakukan sesuatu benda tidak akan dilaksanakan di Malaysia, “Sebagai contoh Statut Rom memberi kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan semua benda.

“Kini ada lelaki berkahwin dengan lelaki, perempuan berkahwin dengan perempuan, dan saya sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan selepas berkahwin. Mereka ini orang yang pelik dan kita tidak mahu jadi pelik seperti mereka. Itu kita tidak boleh terima. Kita hanya mahu lakukan perkara yang baik-baik sahaja,” katanya.

Ada beberapa perkara yang amat dibimbangkan hasil daripada kenyataan Tun Mahathir ini. Pertama, adakah beliau dan pihak kerajaan benar-benar faham akan kandungan Statut Rom sebelum mereka memilih untuk tandatangan?

Ini kerana berdasarkan penjelasan beliau dan bacaan berkenaan kandungan intipati Statut Rom, tiada peruntukan langsung disediakan berkenaan perkahwinan sejenis dan sebagainya.

Statut Rom sebenarnya memberi kuasa kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa individu-individu yang terlibat dalam jenayah-jenayah perang spesifik kepada peruntukan undang-undang yang dinyatakan dalam Statut tersebut.

Kedua, Statut Rom tidak membenarkan mana-mana negara membuat sebarang apa-apa pengecualian berdasarkan Perkara 20. Merujuk kepada teks asal “No reservations may be made to
this Statute” Malaysia memang tidak mempunyai hak untuk memilih klausa-klausa yang terpilih tetapi kini berada sepenuhyanya di bawah kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Perkara 27 turut menyatakan bahawa semua pihak tanpa mengira pangkat rasmi akan tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mana perkara ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA mempunyai kedudukan istimewa.

Ketiga, tahukah anda bahawa bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa kekal walaupun negara tersebut telah menarik diri dari Statut Rom?

Perkara baru sahaja berlaku di negara jiran, Filipina yang mana mereka telah menarik diri daripada Statut Rom pada 18 Mac 2019.

Menurut pejabat pendakwa raya, Perkara 127.2 Statut Rom mengekalkan bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap jenayah-jenayah yang dilakukan semasa sesebuah negara masih menjadi ahli Statut Rom dan Mahkamah Jenayah boleh bertindak untuk mendakwa walaupun selepas sesebuah negara menarik diri.

Lebih menarik jika dibaca ruang komen di laman Facebook International Criminal Court, rata-rata rakyat Filipina mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk menarik diri.

Isu Statut Rom bagaikan pisang berbuah dua kali, sama seperti ICERD yang mana kerajaan telah bertindak dan mengumumkan niat untuk ratifikasi tanpa konsultasi dengan orang awam.

Sekali lagi pendekatan yang sama telah diambil, kerajaan PH bertindak dengan gelojoh dan menandatangan Statut Rom tanpa konsultasi dengan pihak berkepentingan yang mana dalam kes ini adalah Majlis Raja-Raja. – MalaysiaGazette

 

Tiada ulasan: