Rabu, 20 Mac 2019

Sebahagian siling di wad kecemasan Hospital Kluang runtuh

THE MALAYSIAN TIMES
 


KLUANG: Sebahagian siling berdekatan kawasan tempat menurunkan pesakit di bahagian Wad Kecemasan Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK) Kluang, di sini dilaporkan runtuh petang semalam.

Pengarah HEBHK Dr Azura Abu Bakar berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.50 petang itu, tidak membabitkan sebarang kecederaan kerana tidak ada pesakit, pelawat atau staf hospital berhampiran kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian itu berlaku tiba-tiba sahaja kerana semasa kejadian cuaca elok dan kini punca kejadian siling runtuh masih dalam siasatan pihak hospital.

“Buat masa ini kerja-kerja pembersihan juga sedang giat dijalankan dan operasi serta perkhidmatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma juga berjalan seperti biasa.

“Begitu juga dengan semua ambulans yang diletakkan berhampiran kawasan kejadian juga tidak mengalami sebarang kerosakan dan boleh beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu risau kerana ia membabitkan kerosakan kecil dan kawasan lain di hospital tidak terlibat dengan insiden yang berlaku ini.–Bernama

Tiada ulasan: