Sabtu, 30 Mac 2019

Saya datang untuk penuhi janji pada Tok Mat - Zahid

MALAYSIAKINI

   

PRK RANTAU | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau hadir ketika proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Rantau hari ini kerana mahu memenuhi janji kepada calon BN, Mohamad Hasan.

"Kedatangan saya hari ini adalah untuk memenuhi janji yang saya buat kepada Tok Mat.

"Yang penting Tok Mat ialah incumbent (penyandang). Kegagalan beliau dengan mengosongkan kerusi bukan disebabkan (salah) beliau tapi disebabkan keputusan perundangan mahkamah.

"Yang penting biarpun Tok Mat Pembangkang, beliau dah banyak berikan sumbangan dalam bentuk pembangunan di Rantau ini. Bagi saya sepatutnya tak ada sebab orang tak memilih Tok Mat," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Zahid kini sedang bercuti daripada tugas presiden Umno selepas menghadapi pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Pada 18 Dis tahun lalu, beliau mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun Zahid baru-baru ini memberi bayangan akan kembali memimpin Umno selepas peristiwa besar berlaku dalam negara tidak lama lagi.




Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun tidak menjelaskan apakah peristiwa besar yang dimaksudkannya itu.

'Bantu kempen? Bergantung'

Ditanya apakah beliau akan membantu kempen BN pada PRK Rantau, Zahid berkata ia bergantung kepada keadaan.

"Bergantung. Kalau kehadiran saya membantu kemenangan, saya akan terus berada di tempat tertentu yang memerlukan sumbangan saya.

"Jika sebaliknya, saya kena memberikan dukungan daripada jauhlah," kata Zahid.

Sementara itu ketika ditanya apakah kehadirannya kali ini untuk memberi gambaran akan kembali bertugas sebagai presiden Umno, Zahid berkata:

"Saya datang untuk penuhi janji saya pada Tok Mat bahawa saya hadir untuk penamaan calon beliau," katanya ringkas.

PRK Dun Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi Dun berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

PRK itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamad, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dan dua lagi calon Bebas.


Tiada ulasan: