Ahad, 31 Mac 2019

Rantau: Cubaan pertama melagakan Umno-PAS hancur berkecai






Pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Rantau semalam, muncul seorang calon bebas bernama Mohd Nor Yassin.

Beliau memperkenalkan dirinya seorang bekas ahli PAS yang pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di DUN Gemencheh, Negeri Sembilan. Semua media melaporkan beliau sebagai bekas calon PAS pada PRU-13.

Umum mengetahui PAS akan memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional, yang juga Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan di Rantau. Semua ahli dan pendokong PAS juga tahu akan hal ini, dan setakat ini tiada bantahan.
Sejurus selepas penamaan calon, riuh di media sosial kononnya penyertaan Nor, sebagai seorang ahli PAS, petanda akar umbi PAS melakukan sabotaj terbuka terhadap keputusan pimpinan PAS untuk menyokong Tok Mat di Rantau.

Tiada pimpinan Amanah yang bersuara ketika itu sehingga sebelah petangnya selepas identiti Nor dibongkar oleh warga internet dan juga setiausaha agung PAS.

Netizen membongkar Nor menyertai Amanah pada 10 Mac yang lalu melalui satu coretan Facebook milik Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani di bawah.

Gambar Nor menerima sijil keahlian Amanah juga terpapar dengan jelas.

 Ketika gambar tersebut tular, tiba-tiba status Facebook bertarikh 10 Mac milik Taufek diubah kepada “Belia Harapan Negara” 44 minit sebelum semakan dibuat pada 5.27 petang semalam.



 
Persoalan pertama: Apakah perlu Taufek atau admin Facebook Taufek melakukan edit tersebut? Apakah niat sebenar edit yang dilakukan ini? Netizen boleh berspekulasi tapi hanya mereka yang tahu niat sebenar.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan rekod PAS menunjukkan Nor bukan ahli PAS dan beliau menyertai Amanah pada 10 Mac 2019.

Ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Takiyuddin, Nor bertegas masih seorang ahli PAS.

Persoalan kedua: Mengapa beliau berbuat demikian?

Mungkinkah seorang yang waras dan cerdik seperti beliau boleh terlupa dia menyertai Amanah pada 10 Mac yang lalu? Mungkin, tapi ini susah dipercayai.

Mungkinkah beliau melakukan ini secara peribadi tanpa berbincang dengan sesiapa? Mereka yang naif politik sahaja yang akan mempercayai seseorang boleh menyertai pilihan raya tanpa berbincang dengan sesiapa.

Ketegasan Nor mengaku sebagai ahli PAS dan enggan menyentuh keahliannya dalam parti Amanah ketika ditanya para pemberita mendedahkan beliau cuba meraih undi orang PAS di Rantau.

Jika beliau dapat memecahkan undi ahli PAS, maka undi Tok Mat akan berkurangan dan ini akan memberikan kelebihan kepada calon Pakatan Harapan.

Jadi jelas, kemasukan Nor pada PRK Rantau ini bukan sabotaj terhadap Pakatan Harapan, sebaliknya bertujuan menolong Pakatan Harapan selari dengan niatnya menyertai Amanah.

Bukan semua orang ada kesanggupan seperti Nor untuk melakukan pengorbanan ini. Semangat membantu parti ini wajar dipuji.

Namun begitu, beliau perlu sedar risikonya tinggi di mana beliau akan ditinggalkan bersendirian sekiranya keahliannya dalam Amanah terbongkar.

Ini terbukti betul apabila keahliannya disahkan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir sendiri dan terus mencadangkan agar beliau dipecat meskipun Nor menafikan kenyataan Takiyuddin.

Malah, ada pimpinan Amanah yang mahu perkara ini diselesaikan lebih cepat, contohnya Naib Presiden Amanah, Husam Musa yang terus mengumumkan keahlian Nor gugur secara automatik.

Sama ada Nor sememangnya bertindak secara bersendirian, atau diarah bertanding secara bebas di Rantau untuk memecahkan undi lawan, hanya beliau yang tahu.

Taktik ini sungguh rapi. Kesungguhan beliau mengheret nama PAS dalam permainan ini dan sosial media yang tidak pernah lupa menyebabkan ekornya terdedah.

Dan dengan itu, serangan pertama untuk memecahkan undi Umno dan PAS di Rantau hancur berkecai dan kini menjadi senjata makan tuan. Cuma, siapakah tuannya? Apakah Nor sendiri atau ada orang lain? Ini terpulang pada Nor sama ada beliau sudi tampil menjelaskannya.

Tiada ulasan: