Sabtu, 30 Mac 2019

PRK Rantau: 'Silaplah kata 14 tahun saya tak buat apa-apa' - Tok Mat

Sahlizah Mohamed, Astro Awani
PRK Rantau: 'Silaplah kata 14 tahun saya tak buat apa-apa' - Tok Mat
MOHAMAD: Tak ada ada isu apa pun. Sendayan berada di dalam Rantau, jadi silaplah siapa yang pernah kata 14 tahun saya tak buat apa-apa. -Gambar fail
 
 
SEREMBAN: Penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan menafikan wujud tidak kepuasan hati dalam kalangan masyarakat di kawasan itu sepanjang kepimpinannya.

Mengulas berhubung isu yang dijangka dibangkitkan sepanjang kempen berlangsung, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti itu berkata masyarakat boleh melihat sendiri pembangunan di situ sejak 14 tahun lalu.

“Tak ada ada isu apa pun. Sendayan berada di dalam Rantau, jadi silaplah siapa yang pernah kata 14 tahun saya tak buat apa-apa.

“Anda boleh lihat banyak pembangunan. Ada sekolah kebangsaan jenis Cina, jenis kebangsaan Tamil dan sekolah kebangsaan.
 
“Pangkalan tentera udara, pangkalan besar dekat sini, yang baharu, yang beransur-ansur pindah dari Sungai Besi. Ini merupakan pelan yang kita buat di Negeri Sembilan dan khusus di Rantau.

“Jadi silaplah siapa yang kata saya tak buat apa-apa 14 tahun lalu dan tiga penggal yang lepas,” kata Mohamad yang merupakan Calon Barisan Nasional dalam PRK Rantau yang dijadualkan pada 13 April.

Ketika ditanya tentang dakwaan kerjasama di antara UMNO dan PAS akan menyebabkan kehilangan jumlah pengundi dalam kalangan bukan Islam, beliau menafikannya dan menegaskan bahawa ia merupakan langkah ke arah penyatuan sebagai gabungan parti pembangkang.

“Tak ada pula sebab kerjasama itu merupakan kerjasama untuk kita menjadikan satu gabungan pakatan pembangkang kerana pakatan pembangkang mesti bergabung.

“Dan hasrat saya ialah mahu lihat supaya negara kita ini akan ada wujudnya sistem dua parti seperti di negara-negara maju yang lain,” jelasnya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berkata dalam usaha mendekati pengundi di DUN Rantau, beliau akan mempertingkatkan lagi kekerapan dalam menggunakan sepenuh masa berkempen.

Calon Barisan Nasional itu berkata peluang selama 13 hari itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meminta pengundi-pengundi membantu dan menyokongnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April depan.

“Saya dah memang lama berada di kawasan kerana saya merupakan wakil rakyat tiga penggal di sini dan saya memang menjalankan gerak kerja di Rantau bahkan sudah biasa di kawasan ini.

“Tapi dalam pilihan raya kecil ini saya akan pertingkatkan frequency dan volume supaya masa 13 hari dapat saya gunakan untuk bertemu dengan seberapa ramai pengundi,” katanya hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK DUN Rantau yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.


Tiada ulasan: