Sabtu, 16 Mac 2019

Polis ambil 36 minit untuk tahan suspek pengganas

Shafizan Johari, Astro Awani
Polis ambil 36 minit untuk tahan suspek pengganas
Mike Bush memaklumkan pegawai polis yang menahan pengganas berkenaan mengambil risiko besar untuk menahannya selepas menjumpai ada bahan letupan dan senjata lain selepas kenderaan penyerang dihentikan polis. (Foto AP)
 

CHRISTCHURCH: 36 minit.

Itu tempoh yang diambil Polis New Zealand dari ketika pihaknya mula menerima panggilan kecemasan sehinggalah tertangkapnya pengganas yang terlibat dalam tragedi solat Jumaat di Christchurch.

Suspek, Brenton Tarrant, 28 tahun, diberkas selepas melepaskan tembakan ke arah jemaah di dua masjid di bandar itu, iaitu di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood.

Pada satu sidang media di sini, Pesuruhjaya Polis New Zealand Mike Bush memaklumkan, pegawai polis yang menahan pengganas berkenaan mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas itu.

Ia kerana, katanya, mereka turut menemui bahan letupan dan senjata lain di dalam kenderaan penyerang itu setelah ia dihentikan oleh polis.

Bush juga memaklumkan, pihaknya kini sudah memperoleh beberapa petunjuk untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, tambahan 125 anggota dikerahkan ke Christchurch bagi membantu menjamin keselamatan di bandar berkenaan.

Pada masa sama, Polis New Zealand mengumumkan menggerakkan keseluruhan pasukannya ke seluruh negara demi menjamin keselamatan awam, selain menjamin kelancaran siasatan kes.

BACA: Tragedi solat Jumaat: Keberanian polis tarik keluar suspek dapat pujian

 

Tiada ulasan: