Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dikhuatiri tidak mendapat apa-apa manfaat selain ‘persepsi demi persepsi’ sekiranya kerajaan terus mengekalkan orang sendiri, Datuk Seri Ronald Kiandee, mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)

Tindakan tersebut juga dilihat tidak sejajar ketika Speaker Dewan Rakyat sedang melaksanakan pembaharuan institusi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan jawatankuasa itu berkuasa memanggil orang untuk hadir di hadapannya atau meminta mengeluarkan surat, rekod serta penyata kepada Majlis, pelantikan Pengerusi PAC daripada pembangkang dipercayai akan berperanan sebagai semak dan imbang yang berkesan untuk mengekang ketirisan dan salah guna kuasa.

Tambah beliau, jika tiada semak dan imbang, sesuatu yang tidak baik tetap akan berlaku sehingga mungkin terjadi wakil rakyat PH tidak dapat ditegur dan dihalang.

“Oleh itu, saya menggesa Perdana Menteri agar mengkaji semula keputusan beliau untuk mengekalkan wakil parti kerajaan menjadi pengerusi PAC, lebih-lebih lagi apabila 2 Ahli Parlimen parti kerajaan iaitu YB Nurul Izzah Datuk Seri Anwar dan YB Hanna Yeoh telah membuat kenyataan supaya pengerusi PAC disandang oleh wakil pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bahawa semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju ahli baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terus kekal menjalankan tanggungjawab itu di Parlimen.

Menurut Ismail Sabri, walaupun banyak janji PH tidak ditepati, namun sekurang-kurangnya janji PAC ditepati jika Ronald tidak menerajui PAC dan ia selaras dengan janji kerajaan untuk mentransformasikan parlimen.

“Saya melahirkan rasa kesal kerana kerajaan Pakatan Harapan terus mengekalkan Ronald Kiandee mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara walaupun Ahli Parlimen Beluran itu harus melepaskan jawatan Pengerusi PAC setelah menyertai Parti Bersatu, salah sebuah komponen PH,” jelas beliau.

Menurutnya, perkara tersebut bertentangan dengan janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan melantik pemimpin pembangkang mengetuai PAC.

Seharusnya, tambah Ismail Sabri, jawatan Pengerusi PAC diisi oleh pembangkang yang bukan sahaja untuk meneruskan akuntabiliti eksekutif, malah untuk memeriksa dan memantau urusan kewangan negara.

Selain itu, katanya, ia dapat memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara ditadbir secara baik dan sempurna. – MalaysiaGazette