Jumaat, 15 Mac 2019

Peguam gesa henti siasat penganjur himpunan Hari Wanita

MALAYSIAKINI

   

Peguam Syahredzan Johan menggesa polis menghentikan siasatan terhadap penganjur Himpunan Hari Wanita Sedunia yang berlangsung Sabtu lalu.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik Lim Kit Siang menyifatkan siasatan polis sebagai tanpa waran, tidak perlu dan tindakan yang boleh boleh melanggar hak penganjur himpunan itu.

Syahredzan membuat kenyataan itu selepas penganjur himpunan berkenaan dilapor berkata bahawa mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

"Laporan media menunjukkan bahawa penganjur sudah memberikan notis 10 hari awal seperti yang dikehendaki polis.

"Tiada sebab untuk polis menyiasat penganjur di bawah PAA 2012, kerana ketetapan di bawah Seksyen 9(1) akta itu sudah dipatuhi.

Bagi Akta Hasutan pula, ia merupakan akta drakonian yang menindas dan tidak ada tempat dalam sebuah negara yang demokratik," katanya sambil menambah penggunaan akta itu bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk memansuhkannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan enam individu termasuk penganjur himpunan itu telah hadir untuk memberi keterangan kepada polis baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata tiga lagi individu iaitu saksi akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 18 Mac ini untuk memberi keterangan.

“Kami (polis) mahu kes ini diselesaikan dengan cepat dan setakat ini, enam saksi termasuk tiga penganjur telah hadir memberi keterangan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim sebelum ini berkata kertas siasatan mengenai himpunan itu yang menurutnya tidak mendapat kebenaran polis telah dibuka dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Himpunan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu turut disertai aktivis LGBT.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tindakan segelintir pihak menggunakan sambutan Hari Wanita untuk mempertahankan hak golongan LGBT sebagai penyalahgunaan ruang demokrasi.

Penganjur menegaskan bahawa pihaknya berkomunikasi dengan polis sepanjang perancangan himpunan itu sehinggalah hari himpunan.

Lima tuntutan yang dinyatakan penganjut adalah: Hentikan keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seks; haramkan perkahwinan kanak-kanak; pastikan hak wanita terhadap tubuh badan dan kehidupan mereka; memastikan gaji minimum RM1,800; serta hancurkan patriarki dalam masyarakat.


Tiada ulasan: