Isnin, 18 Mac 2019

Pas Johor gesa pelaku pencemaran Sungai Kim Kim didakwa

Mohd Zaini Samsu Hadi
Abdullah Husin
Abdullah Husin

PASIR GUDANG – Badan Perhubungan Pas Negeri Johor mendesak pihak berkuasa mendakwa pelaku yang telah menyebabkan pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim hingga menyebabkan ribuan penduduk terjejas ke muka pengadilan.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, tindakan segera perlu diambil terhadap pelaku terbabit kerana telah menyusahkan banyak pihak.

Beliau turut menegur menteri dan juga exco kerajaan negeri yang dilihat sering memberikan kenyataan bercanggah hingga menimbulkan panik kepada orang ramai.

“Pas Johor juga mengulangi desakan pelbagai pihak agar pelaku yang telah menyebabkan bencana pencemaran sisa kimia ini dihadapkan ke muka pengadilan dengan seberapa segera.

“Kenyataan yang bercanggah oleh menteri dan exco berkenaan dengan prosedur pendakwaan hanya akan mengundang rasa gusar dan kurang selesa khususnya oleh ribuan mangsa dan mereka yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdullah, langkah proaktif membersihkan sungai yang tercemar dengan menggunakan dana RM6.4 juta termasuk RM1 juta sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perlu dipergiatkan demi mengembalikan keyakinan rakyat setempat khususnya di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pas Johor telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk turun bersama membantu agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi tersebut.

“Pas melalui Khidmat Malaysia telah mengarahkan seluruh jentera kekuatan daripada Jabatan Amal, Briged Muslimat dan lain-lain entiti Pas yang berkaitan untuk turun membantu bersama-sama agensi lain dalam operasi kali ini.

“Untuk makluman, Jentera kekuatan kami mempunyai cukup tenaga, kemahiran dan peralatan termasuk untuk menghadapi situasi berbahaya toksik yang sedang melanda sekarang,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: