Sabtu, 30 Mac 2019

PAS AGRESIF JALIN HUBUNGAN POLITIK


Parti PAS semakin agresif menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) selepas UMNO, MIC dan dijangka bersama MCA sedikit masa lagi.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam suasana Islam yang menerima masyarakat majmuk, PAS tidak boleh jumud atau beku sebaliknya, perlu mengambil pendekatan politik yang fleksibel demi kepentingan bersama.

“Kita tunggu (kerjasama dengan MCA), PAS mempunyai pengalaman yang banyak dan panjang bukan sahaja pernah dengan MIC tetapi dengan UMNO, DAP, PKR dan Parti Negara.

“Dalam hukum Islam kita boleh melibatkan bukan Islam dalam pentadbiran negara, saya pernah sebut tentang kerajaan teknokrat yang tak berkait hukum agama, tetapi memfokuskan isu seperti jalan raya, elektrik dan pertanian,” katanya.

Katanya ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara Pas dan MIC yang bermula secara rasmi semalam susulan mesyuarat hampir dua jam barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alur Lit, Bukit Payong dekat Marang petang Jumaat.

Menurut Abdul Hadi, kerjasama dengan MIC dicapai hasil kejayaan sayap parti, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam mendekati kalangan bukan Islam, terutama selepas mereka memahami bahawa pemerintahan Islam terutama di Terengganu dan Kelantan sama sekali tidak menganiaya kaum lain.

Bahkan, katanya, kerjasama itu telah mula dibincangkan sejak lima bulan lalu yang sekali gus akan memperkukuhkan lagi sokongan bukan Islam khususnya kaum India terhadap Pas.

“Kerjasama dengan MIC ini lebih bersifat perkenalan dengan lebih dekat, penjelasan kita mendapat respon yang baik dan mereka faham hak beragama itu dijamin oleh Islam dan Perlembagaan.

“MIC masih bertahan kerana ada akar umbi kuat berbanding parti lain yang hanya bergerak atas isu-isu tertentu dan apabila isu itu mati, lemahlah (parti itu),” katanya.


Tiada ulasan: