Sabtu, 30 Mac 2019

Nurul Izzah elak soalan kontroversi

Kasthuri Jeevendran
xMGF30032019_Sambutan-Hari-Wanita-Antarabangsa_06-1-681x454
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut menyertai larian Leadership Walk pada Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Pusanika Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Seperti sudah dapat meneka akan diterjah dengan soalan kontroversi – Ahli Parlimen Permatang, Nurul Izzah Anwar mengelak daripada bercakap dengan wakil media hari ini.

Malah kata bekas anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada sekumpulan media yang sudah menunggu sejak jam 8 pagi tadi pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Festival Generasi 2019, dirinya tidak mahu ditemuramah buat masa ini.

“Cukuplah, sudah banyak yang telah ditulis. Terima kasih ya kerana datang buat liputan. Terima kasih semua,” katanya ringkas di luar perkarangan Dataran Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengejutkan umum apabila melepaskan jawatan Naib Presiden PKR selain daripada jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Pada minggu lalu, Nurul Izzah ketika diwawancara akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengannya.

Menyentuh kritikan terhadap kerajaan yang beliau sifatkan gagal menunaikan janji manifesto, Nurul Izzah sebelum ini berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk bersuara.

“Saya hanya kritik, perkembangan lembap Pakatan Harapan dalam usaha mengotakan janji pilihan raya, adakah tidak boleh untuk beri sedikit kritikan yang membina.

“Kita sayang negara kita, kena ada ruang bercakaplah,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis Festival Generasi 2019, sekali lagi Nurul Izzah memberi penekanan kepada peranan golongan hawa di negara ini yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.
MGF30032019_Sambutan Hari Wanita Antarabangsa_09
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berucap pada 
Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Pusanika 
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI,
“Jika anda boleh lakukan dengan lebih lagi, anda perlu berkeyakinan. Wanita boleh pilih untuk menjadi suri rumah atau berkerjaya. Janganlah dicemuh atau beri kenyataan sesuka hati kepada golongan ini.

“Para suami juga boleh memberi sokongan bagi isteri mereka berjaya dengan lebih lagi,” ujarnya sebelum diikuti tepukan para hadirin. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: