Sabtu, 30 Mac 2019

Mana adil kita selalu perlu jawab, tapi PH tak jawab? – Najib

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng harus menjawab isu terowong dasar laut Pulau Pinang ketika diminta menjawab dakwaan pentadbirannya pernah cuba menjual Bangunan Malaysia di Hong Kong.

“Hari ini, wartawan-wartawan meminta saya jawab tuduhan Guan Eng bahawa kerajaan BN yang mula-mula cuba jual bangunan di Hong Kong milik kerajaan walaupun ianya kerajaan PH yang telah memutuskan untuk menjualnya baru-baru ini.

“Saya beritahu wartawan bahawa saya tidak ada masalah untuk meminta bekas Menteri Luar Negara untuk menjawab isu ini.

“Tetapi, saya minta wartawan untuk bertanya soalan yang sangat mudah ini kepada kerajaan PH terlebih dahulu – terutama dari pihak SPRM, pihak polis ataupun dari Kementerian Dalam Negeri.

“Sebenarnya, wartawan tidak perlu tanya Guan Eng kerana dia tidak akan menjawab ataupun akan cuba berbohong lagi,” katanya.

Tambah beliau BN dan PAS pernah tanya berulang-kali termasuk di dalam parlimen tanpa mendapat sebarang jawapan dari kerajaan PH.

“Adakah kertas siasatan terperinci SPRM termasuk pengakuan pemilik syarikat konsesi Terowong Pulau Pinang yang telah dibocorkan beberapa minggu lalu dan telah disebar dengan meluas, sahih atau tidak?

“Pihak SPRM telah membuat laporan polis ke atas isu ini tetapi apa yang tidak dijelaskan dan tidak dijawab oleh kerajaan PH ialah jika laporan polis ini untuk menyiasat berlakunya kebocoran kertas siasatan SPRM atau kertas siasatan itu adalah hasil pemalsuan.

“Dokumen-dokumen yang didakwa kertas siasatan SPRM adalah sangat terperinci dan memperincikan pemberian rasuah serta pemberian kepentingan 10% dalam projek mega berbilion Ringgit tersebut yang melibatkan beberapa pemimpin kanan DAP.

“Kertas siasatan itu juga termasuk kenyataan dan pengakuan dari pemilik syarikat konsesi terowong yang telah dirakamkan dalam format video oleh pihak SPRM.

“Kerajaan PH juga perlu menjawab mengapa pejabat Peguam Negara (AGC) masih tidak mengambil sebarang tindakan walaupun sekurang-kurangnya 3 dari 6 kertas siasatan terhadap projek Terowong ini sudah di hantar kepada mereka sejak awal tahun lepas untuk tindakan lanjut seperti dijelaskan oleh kenyataan SPRM bertarikh 4 Mac 2019 lalu.

“Ini soalan-soalan amat mudah untuk wartawan tanya dan kerajaan PH menjawab.

“Kertas siasatan terbocor itu sahih atau tidak?

“Apakah terkandung dalam laporan polis yang dibuat oleh SPRM tentang dokumen terowong terbocor pada awal bulan ini?

“Mengapa masih belum dakwa atau tutup kes terowong walaupun kertas siasatan sudah di AGC selama 1 tahun?

“Mana adil bahawa kita selalu perlu untuk jawab tapi PH sebagai kerajaan tak perlu untuk jawab?” katanya.

Tiada ulasan: