Isnin, 25 Mac 2019

Laskar siber kerjaya lumayan, tapi mencabar


   
LAPORAN KHAS | Sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, kemeriahan di media sosial tidak pernah reda. Sebahagiannya membina, tetapi kebanyakannya mungkin boleh membuat seseorang 'murung seminggu'.

Ia bukanlah disebabkan kata-kata yang dihamburkan itu terlalu bisa, namun dalam sesetengah keadaan, ia kelihatan tersasar jauh daripada isu yang dibincangkan.

Sebahagian daripada komen yang ditinggalkan di media sosial itu memang kerja buat laskar siber - atau digelar sesetengah orang sebagai pahlawan papan kekunci.

Namun, jangan memandang remeh kegiatan laskar siber terbabit. Ia bukan tugas yang boleh dipandang ringan kerana ia sebenarnya menjadi satu kerjaya untuk mencari rezeki.

Antara tugasan mereka ialah mempromosi, menangkis serangan dan menyerang individu atau pihak tertentu di media sosial.

Menjelang pilihan raya umum (PRU), peranan kumpulan itu amat diperlukan parti politik bagi menguasai ruang siber, sekali gus membentuk persepsi rakyat.

Gaji cecah RM10k

Kejatuhan BN pada PRU ke-14 lalu juga - sememangnya tidak dapat disangkal - kesan daripada 'perang' dibawa laskar siber terbabit.

Salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Bob berkata, dia mula bergiat aktif bidang itu selepas PRU ke-13 apabila melihat potensi media baru sebagai platform berkesan untuk menguasai sokongan masyarakat.

"Cybertrooper ini ramai dan kami mendapat upah mengikut pengalaman dan kemampuan menguasai ruang siber.

"Paling kurang pun RM2,000 sebulan dan ada yang mampu dapat upah sehingga puluhan ribu ringgit.
"Kalau seorang cybertrooper itu mempunyai pengaruh dan ramai pengikut di media sosial, biasanya upah yang diterima boleh mencecah RM10,000. Itu yang saya tahu," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Untuk rekod selepas tewas kepada PH pada PRU ke-14 lalu Umno dan BN mengakui aktiviti perang siber memainkan peranan penting.

Bekas perdana menteri Najib Razak - ketika memimpin Umno - pernah mengingatkan jentera parti itu supaya mempertingkatkan gerak kerja khususnya menangani isu dibangkitkan dalam media sosial.

Beliau menganggap menang atau kalah BN dalam PRU-14 ditentukan oleh perang siber.

Pada Januari 2017 Ahmad Zahid Hamidi berkata 93.4 peratus laskar siber di negara ini adalah pro-PH yang menjadi pembangkang ketika itu berbanding hanya 6.6 peratus penyokong kerajaan BN.

Bagi Mazlan Abd Latif pula dia mempunyai garis panduan tertentu semasa memuat naik hantaran di media sosial.

Misalnya, kata Mazlan, dia lebih selesa menggunakan akaun peribadi dan bukannya rekaann atau palsu, selain cuba mengelak bahasa kasar.
Mazlan Abd Latif
Menurutnya, kata-kata kasar terhadap pemimpin kerajaan PH boleh mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Justeru, Mazlan mendakwa dia selalu berhati-hati semasa menulis hantaran atau komen di media sosial.

Jika kasar pun, katanya, dia masih cuba menjaga batasan dengan mengelakkan bahasa kurang ajar atau perkataan lucah.

"Saya ada guna bahasa kasar, tapi bukan kurang ajar atau lucah. Kalau guna juga, isteri saya akan marah," katanya.

Kutip untunng dari BN dan PH
 
Menurut Mazlan lagi, isterinya juga memiliki kata laluan akaun Facebook dan menyemak hantaran atau komen yang dibuat dari semasa ke semasa.

Jika ternampak ada ejaan yang salah atau berlaku kesalahan bahasa, isterinya akan membuat pembetulan.

"Dia cakap, cuba jaga bahasasupaya kita dihormati. Dulu ada juga kata-kata lucah (dalam hantaran)," katanya.

Ditemani anak lelaki dan isterinya semasa diwawancara, lelaki berusia 44 tahun itu berkata dia tidak peduli jika digelar sebagai macai Umno kerana kerja yang dibuatnya itu.

Menurutnya, dalam sehari dia akan memuat naik tiga hingga empat hantaran, sama ada mengkritik PH atau mempertahankan agenda Umno.

Katanya, tujuannya berbuat demikian bukanlah untuk meraih sebarang habuan daripada mana-mana pihak, tetapi atas dasar yakin dengan hala tuju dibawa Umno.
Namun, Mazlan tidak menafikan ada menerima pemberian seperti gajet dan duit raya daripada pemimpin Umno ketika parti itu menjadi kerajaan.

"Orang ingat saya ni cybertrooper yang dibayar, tapi saya pejuang Umno saja," katanya.

Pada masa sama Mazlan percaya ada antara laskar siber yang dibayar untuk berbuat demikian. Malah katanya ada laskar siber yang mengutip untung daripada BN dan PH pada masa sama.

Perlu faham isu
 
Menjelaskan prinsipnya, Mazlan berkata dia melakukan kerja itu bukan disebabkan duit, tapi atas prinsip perjuangan dan mahu menyumbang untuk mempertahankan BN.

Mazlan yang bekerja sendiri itu berkata dia dipilih dalam kalangan kumpulan laskar siber berdasarkan hantarannya sebelum itu yang banyak "menyampaikan fakta" yang mempertahankan agenda kerajaan BN.

Katanya ketika itu dia banyak menggunakan bahasa mudah untuk difahami rakyat.

Menurut Mazlan peranannya digunakan apabila BN menghadapi isu-isu hangat seperti Lembaga Tabung Haji.

Untuk menjadi laskar siber yang berjaya katanya dia perlu memahami sesuatu isu yang diperkatakan supaya ia dapat dijelaskan kepada orang ramai.

Selain bermodalkan kreativiti, katanya, seorang laskar siber perlu celik politik dan faham apa yang boleh dilakukan oleh sesebuah kerajaan dan pembangkang.

"Apabila mereka (orang ramai) tanya mengenai sesuatu isu, maklumat mengenainya kena dah ada siap dalam kepala kita.

"Jadi, senafas saja kita boleh jawab.

"Kalau fakta salah, orang serang, (kemudian) print screen (tangkap layar), kawan nak bantu pertahankan kita pun susah," katanya.

Tiada ulasan: