Sabtu, 30 Mac 2019

Kes tetak: MIC gesa Streram buktikan atau berdepan saman


   

Calon PKR Rantau, Dr S Streram digesa membuktikan dakwaan bahawa anggota MIC telah menyerang seorang ketua ranting PKR semalam.

Timbalan presiden MIC M Saravanan berkata parti itu akan menyaman Streram jika gagal membuktikan tuduhan itu dalam tempoh 24 jam.

"Kementerian Dalam Negeri berada di bawah Pakatan Harapan. Jika ahli MIC melakukan serangan itu (terhadap ketua ranting PKR), tangkap dia dan umumkan dia ialah ahli MIC.

"Dalam masa 24 jam Streram perlu membuktikan dakwaannya atau memohon maaf," kata Saravanan kepada Malaysiakini di Rantau hari ini.

Semalam, ketua ranting PKR Taman Cempaka K Suresh dilaporkan diserang seorang lelaki ketika membersihkan sebuah kawasan belukar.

Suresh berjaya melepaskan diri dan mengalami kecederaan di lengan kirinya.

Dalam satu ceramah malam tadi, Streram mendakwa penyerang tersebut dari MIC.

Saravanan menyifatkan Streram sebagai terdesak apabila melemparkan tuduhan berkenaan.

"Streram sangat terdesak, dia tahu dia akan kalah. Tidak ada siapa yang waras di Rantau akan mengundi Streram, jadi dia main taktik kotor seperti ini," katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa calon PKR itu supaya berhenti 'berdrama'.

Tiada ulasan: