Ahad, 31 Mac 2019

Kerajaan jimat RM806 juta lepas semak kontrak rundingan terus

Norlaile Abd Rahman
xMGF013032019_LIM-GUAN-ENG-SDFF03-681x452
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Sejumlah 121 buah projek infrastruktur yang bernilai RM13.932 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus dan terhad oleh kerajaan terdahulu kini diteruskan selepas kerajaan Pakatan Harapan melakukan rundingan semula.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hasil daripada rundingan tersebut kerajaan persekutuan berjaya mendapatkan penjimatan kos sebanyak RM805.99 juta.

Projek-projek tersebut bagaimanapun tidak termasuk projek mega seperti LRT3 yang melibatkan kos asal sebanyak RM31.65 bilion serta MRT 2 (RM39.35 bilion).

Harga kedua-dua projek berkenaan bagaimanapun telah berjaya dikurangkan masing-masing kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion, sekali gus memberikan penjimatan keseluruhan kepada kerajaan sebanyak RM23.84 bilion.

”Berdasarkan kajian semula tersebut, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek-projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

”Manakala, bagi 121 projek  tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung Mac 2019 setelah harga  dirunding semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut sekaligus mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Jun 2018, Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan Kerajaan dan pengurusan kewangan negara.

Antara langkah yang diperkenalkan adalah kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu.

Tambah Guan Eng, kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh kementerian yang terlibat mengendalikan projek tersebut dan tidak membabitkan Kementerian Kewangan lagi.

”Mengambil kira perkembangan semasa ini, Kementerian Kewangan yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada Kerajaan dan rakyat,” tambahnya.

Kaedah lama pemberian kontrak akan dikekalkan, kata Guan Eng.

Cuma perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender; terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: