Selasa, 26 Mac 2019

Kelantan tak pernah haramkan jualan arak pada bukan Islam, kata PAS



PAS berkata kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti itu tidak pernah menhalang atau mengharamkan penjualan arak terhadap masyarakat bukan Islam sepanjang mentadbir negeri itu hampir 30 tahun lalu.

Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata demikian apabila menegur sebuah akhbar yang menyalahtafsirkan kenyataan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang mengenai kerjasama PAS dan Perikatan pada 1973.

Pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, Takiyuddin merujuk kepada salah satu syarat kerjasama 70-an itu yang disebut mengenai kebenaran penyediaan arak dalam majlis rasmi kerajaan ketika itu.

"Salah satu syarat ialah kerajaan benarkan PAS untuk mengemukakan pandangan supaya acara-acara yang bercanggah dengan Islam yang dianjurkan dalam majlis kerajaan tidak dibenarkan, sebagai contoh hindangkan arak, tari-menari diadakan di majlis rasmi kerajaan.

"Tapi telah disalah lapor oleh satu akhbar bukan bahasa Melayu, seolah-olah presiden PAS nyatakan bahawa bila PAS adakan penyatuan ummah, salah satu syarat ialah tidak ada arak.

"Ini tidak betul, kerana yang dimaksudkan presiden PAS dalam majlis kerajaan itu tiada, sebab PAS bersama dengan Umno," katanya yang enggan menamakan akhbar tersebut.

Kenyataan Hadi itu susulan kerjasama rasmi PAS-Umno di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya kecil sebelum ini.

PAS menyertai Perikatan pada 1972, sebelum meninggalkan gabungan itu lima tahun kemudian.

Perikatan merupakan nama bagi BN sebelum ia diasaskan pada 1973.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan terdapat lesen-lesen permit dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di negeri itu serta restoran yang menyediakan minuman keras.

"Ia tidak jadi satu hasrat atau dasar kita kalau kita jadi kerajaan persekutuan...tidak.

"Dari segi Islam, arak dibenarkan untuk orang bukan Islam. PAS sebagai parti berteraskan Islam, tidak mempunyai hasrat buat dasar tidak benar arak untuk orang bukan Islam.

“Saya mohon dibetulkan kalau disalahpetik," katanya.



Tiada ulasan: