Rabu, 20 Mac 2019

Ini mengenai disiplin - speaker S'gor pertahan ‘peraturan blazer gelap saja'


   
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim tetap berpegang dengan pendiriannya yang menegur cara berpakaian Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong yang didakwa tidak mematuhi etika pada sidang semalam.

Menurutnya, apa yang diperkatakannya adalah mengenai disiplin dan menafikan beliau menjadikan Wong sebagai sasaran atau cuba menentukan cara berpakaian wakil rakyat wanita.

"Saya perlu menegaskan bahawa saya tidak mensasarkannya atau wanita. Saya menghormati wanita, tidak ada isu untuk mengawal pakaian wanita.

"Tolong jangan alih isu sebenar. Ini mengenai penghormatan kepada sidang DUN, kita harus pamerkan disiplin kita.

"Jika saya jadikannya sasaran, saya akan halangnya masuk ke dewan semalam, tetapi saya tidak berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Ng juga menyebut beliau turut menegur Adun Templer, Mohd Sany Hamzan yang memakai baju Melayu dan bukannya ‘lounge suit’ semasa penggal sidang DUN sebelum ini.

Beliau mengulas kenyataan Wong yang membidas caranya berpakaian dan bukan memberi perhatian terhadap apa yang dikatakannya.

Wong, wakil rakyat selama tiga penggal, berkata, bahawa tidak ada notis terdahulu yang menyatakan bahawa Adun wanita mesti memakai blazer berwarna gelap.

Beliau juga memaparkan gambarnya yang memakai blazer putih yang sama di DUN Selangor pada 2016, 2017 dan 2018 tanpa sebarang masalah.

Tiada ulasan: