Sabtu, 16 Mac 2019

Ibu bapa bantah sekolah asing pelajar ikut agama di Sabah

Eksesais pengasingan itu dikatakan bermula Januari lepas dengan 
4 kelas dikhaskan untuk pelajar bukan Islam, sementara 2 kela
untuk pelajar Islam. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah marah terhadap keputusan sebuah sekolah menengah di negeri ini mengasingkan pelajar Tingkatan Satunya ke kelas berlainan mengikut anutan agama mereka.

Satu petisyen atas talian terhadap sekolah berkenaan dilancarkan 2 hari lepas dan berjaya mengutip 5,500 tanda tangan.

Kebanyakan penanda tangan kesal kejadian sedemikian berlaku di Sabah yang selama ini berbangga dengan sifat toleransi kaum dan agama masyarakatnya.

Menurut penganjur petisyen, eksesais pengasingan itu bermula Januari lepas dengan 4 kelas dikhaskan untuk pelajar bukan Islam, sementara 2 kelas untuk pelajar Islam.

Pengasingan kelas itu dijangka terpakai untuk tempoh 3 tahun akan datang.

Dalam satu rakaman video, pengetua sekolah berkenaan menjelaskan antara sebab sistem baru itu diperkenalkan ialah isu keselamatan pelajar, kekurangan bilik darjah untuk subjek Pendidikan Islam dan aduan pelajar yang keliru tentang lokasi kelas mereka.

Pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 lain mempunyai sistem kelas seperti biasa.

Biasanya 2 kelas akan digabungkan untuk subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.

Pelajar beragama Islam akan berpindah ke perpustakaan atau surau untuk kelas Pendidikan Islam, sementara pelajar bukan Islam bergabung dalam satu bilik darjah.

Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan berkata, mereka telah memaklumkan bantahan kepada pengetua, tetapi ia tidak diendahkan.

Penjaga seorang pelajar Tingkatan 1 di sekolah berkenaan memberitahu FMT bahawa ibu bapa bimbang tentang sistem pengasingan itu kerana mereka percaya ia boleh membawa lebih banyak keburukan kepada pelajar.

“Di Sabah, kita terkenal dengan sikap toleransi. Jika sistem ini dipaksakan ke atas anak-anak kita, cuba bayangkan bagaimana ia akan memberi kesan ke atas hubungan dengan orang daripada agama lain pada masa depan,” katanya.

Ketika dihubungi, pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Mistirine Radin berkata, jabatan masih menyiasat perkara itu.

Tiada ulasan: