Sabtu, 30 Mac 2019

Guan Eng buat laporan polis lagi




Wartawan MalaysiaGazette

 xWhatsApp-Image-2019-03-30-at-12

KUALA LUMPUR – Orang awam dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menerima maklumat berkenaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang tidak dapat dikenal pasti kesahihannya dan elakkan daripada menyebar maklumat tersebut.

Ini kerana terdapat pihak berniat jahat yang sengaja mencipta gambar dan kenyataan palsu bagi menimbulkan fitnah dalam masyarakat.

Setiausaha Akhbarnya, Lutfi Hakim berkata, dua laporan polis telah dibuat di IPD Dang Wangi pada 28 Mac lalu bagi gambar-gambar dan hantaran yang telah ditularkan melalui media sosial.

Gambar-gambar itu kononnya memaparkan kenyataan Menteri Kewangan berkenaan status pelajar perubatan dari Universiti di Mesir dan pembayaran bonus dan duit hari raya penjawat awam.

“Harus ditekankan bahawa kedua-keduanya palsu, dan Menteri Kewangan tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan.

“Mesej-mesej yang terkandung dalam gambar-gambar tersebut bersifat memfitnah YB Menteri Kewangan dan menimbulkan kerisauan orang awam,” katanya dalam satau kenyataan.

Tambahnya, tuduhan-tuduhan ini palsu, tidak berasas dan amat berketerlaluan kerana mencuba timbulkan sentimen perkauman dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Tindakan menyebarkan gambar tersebut melalui media sosial merupakan suatu perbuatan jenayah di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Kanun Keseksaan (terutamanya Seksyen 505, 500, 124H, 124I) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: