Sabtu, 30 Mac 2019

Edar kupon percuma: Wanita UMNO gesa SPR ambil tindakan

ainulillia

Selama ini mereka juga yang mengatakan mereka sentiasa telus dan BN pula kotor, tetapi apa sudah jadi, tidak ada satu pun tindakan mereka yang menggambarkan mereka telus dan jujur: Noraini Ahmad


KUALA LUMPUR– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit mengedarkan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, ia perlu bagi memastikan PRK Rantau dapat berjalan dengan bersih dan tanpa prejudis.

“Kita sedar PRK DUN Rantau sememangnya satu pilihan raya yang sangat-sangat hendak dimenangi oleh PH, kerana ia mampu mencalar kredibiliti UMNO apabila ia ditandingi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menggunakan cara kotor.

“Mereka seharus bertanding dengan cara matang dan jujur. Selama ini mereka juga yang mengatakan mereka sentiasa telus dan BN pula kotor, tetapi apa sudah jadi, tidak ada satu pun tindakan mereka yang menggambarkan mereka ini telus dan jujur,” katanya.

Noraini berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng yang mengedarkan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada murid sekolah di DUN Rantau.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Keadilan DUN Rantau, hari ini, kupon itu diberikan kepada 300 orang murid dengan setiap mereka menerima sumbangan antara RM50 hingga RM150.

Lima buah sekolah yang dipilih untuk program ini ialah SJKC Sin Min Kuala Sawah, SJKT Ladang Kombok, SK Felda Sendayan, SK Siliau dan SJKT Rantau.

Noraini turut menyifatkan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan undang-undang rimba sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

“Ini terbukti apabila tanpa ‘segan silu’ pemimpin PH terus bertindak sesuka hati dengan melanggar undang-undang, termasuklah kesalahan pilihan raya yang dilakukan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng ini.

“Walaupun tempoh berkempen belum bermula tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ini boleh dianggap sebagai satu kesalahan dalam pilihan raya. Ini juga boleh diangap rasuah PRK kerana ia berlaku dalam kawasan pilihan raya,” katanya.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKP) jelas menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, apa-apa wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

Seksyen 8 dan seksyen lain dalam AKP seperti pengembangan perasaan jahat dan permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah, dimulakan dengan frasa ‘sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.’


Tiada ulasan: