Ahad, 31 Mac 2019

Calon Bebas enggan ulas keahlian AMANAH

Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

 
 
CALON Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin enggan mengulas lanjut mengenai statusnya sebagai ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) yang bertanding atas tiket Bebas tanpa restu daripada parti sekutu Pakatan Harapan (PH) itu.
 
Mohd Nor, 67, sebaliknya ketika dihubungi Harian Metro pagi ini memberi isyarat 'tunggu dan lihat' tanpa mengulas mengenai punca tindakannya bertanding.

"Saya ada urusan kerana saudara meninggal dunia pagi ini di Mambau.

"Saya tak dapat bercakap kerana masih terkejut atas kematian saudara. Minta maaf, ada masa kita jumpa ya," katanya sebelum mematikan panggilan telefon.

Semalam, Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir dalam satu kenyataan mengesahkan Mohd Nor adalah ahli baharu parti itu berdasarkan semakan keahlian parti.

“Menurut tatacara perlembagaan AMANAH, jawatankuasa pengurusan AMANAH akan mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor Yassin kepada jawatankuasa tatatertib parti kerana bertanding tanpa menerima watikah pelantikan calon daripada parti.

"Sementara menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong yang bertugas di PRK Rantau diarahkan hanya membantu kempen calon PH Dr S Streram,” katanya menerusi kenyataan itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan Mohd Nor adalah ahli partinya, sebaliknya dia menyertai AMANAH pada 10 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  •  
  •  
  • Tiada ulasan: