Sabtu, 16 Mac 2019

Belum sampai masa kerajaan campuran, tegas Hadi

MALAYSIAKINI

   

Berbeza daripada 'lagu' yang didendangkan sebelum ini, presiden PAS berkata kerjasama dijalin partinya dengan Umno masih kekal di peringkat taawun (bertolong-tolongan atau bekerjasama).

Kata Abdul Hadi Awang hubungan PAS dan Umno belum sampai ke peringkat membentuk kerajaan campuran.

“Kita baru di peringkat bertaawun, kerjasama. Belum lagi kerajaan campuran. Pilihan raya lambat lagi," katanya seperti dipetik harakahdaily.

Tidak dapat dipastikan maksud Abdul Hadi apabila beliau mengaitkan kerajaan campuran dengan pilihan raya.

Berucap di Kuala Terengganu anggota parlimen Marang itu berkata PAS menjalin kerjasama dengan Umno khususnya untuk PRK Rantau di Negeri Sembilan.

Kata Abdul Hadi PAS akan membantu Umno bagi menghadapi PH di DUN berkenaan.

Ditanya sama ada PAS bersetuju dengan cadangan kerajaan campuran, Abdul Hadi berkata, masanya belum tiba untuk langkah tersebut.

Ada pengalaman 70-an

Katanya idea kerajaan campuran yang pernah dikemukakannya dulu melibatkan semua parti politik.
"Bukan satu parti sahaja, (sebaliknya) yang kita lihat mana-mana parti yang bersikap positif," katanya.

Bagaimanapun Abdul Hadi hanya menyebut Bersatu - yang didakwanya mengalami krisis dengan PH - serta anggota Gagasan Sejahtera bagi merujuk maksud "semua parti" berkenaan.




Untuk rekod selepas majlis "persandingan" di antara PAS dan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 5 Mac lalu pelbagai pihak membayangkan kedua-dua parti akan membentuk kerajaan baru di beberapa negeri.

Antara yang menjadi perhatian ialah negeri yang ditadbir PH melalui penguasaan kerusi DUN yang marginal seperti Kedah dan Perak. Bagaimanapun mengikut keadaan semasa situasi di Perak lebih memihak kepada PH.

Satu lagi negeri yang disebut-sebut boleh ditadbir secara campuran ialah Pahang - yang ditadbir BN - serta Kelantan dan Terengganu - yang diperintah PAS.

Kata Abdul Hadi PAS akan memperincikan cadangan Umno mengenai pembentukan kerajaan campuran itu berdasarkan pengalaman yang ada pada 1977.


Tiada ulasan: